WhatsApp Perkenal Ciri Membolehkan Ibu Bapa Kawal Akaun Remaja
Effi Saharudin
Media sosial ialah landskap yang menakutkan bagi ibu bapa moden kerana jika penggunaannya oleh anak-anak tidak dikawal, ia mendatangkan impak yang sangat serius. Sudah berlaku banyak kes buli siber dan amang seksual yang semuanya bermula di media sosial. Hari ini Meta memperkenalkan sebuah ciri baharu yang membolehkan ibu bapa atau penjaga mengawal akaun WhatsApp anak remaja.

Menerusinya tetapan privasi pengguna remaja seperti siapa boleh melihat gambar profil, status, Channel atau memasukkan mereka ke dalam Group boleh dilakukan. Pengguna akaun remaja boleh meminta ibu bapa atau penjaga membenarkan mereka menyertai kumpulan tertentu menggunakan pin yang ditetapkan.
Ibu bapa penjaga turut akan menerima notifikasi jika anak menyertai atau meninggalkan Group. Selain itu kawalan akses menggunakan Meta AI juga boleh ditetapkan serta menghadkan kandungan tertentu. Dengan semua ciri ini, ibu bapa atau penjaga tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak memantau aktiviti anak apabila menggunakan WhatsApp.
Komen (0)
Sila log masuk untuk menghantar komen.
Tiada komen lagi.