Ulasan Poco F9 Ultra – Premium Serba Serbi Kecuali Harga
Kerana krisis RAM yang semakin memuncak dipacu oleh permintaan pusat data, peranti dalam segmen harga patut atau mampu milik kini sudah diancam kepupusan. Harga peranti tahun ini secara purata meningkat RM400 sebuah dengan perubahan pada spesifikasi adalah minima. Sudah dapat dilihat ada yang kini dilengkapi RAM dan storan lebih kecil semata-mata untuk mengawal harga.

Poco ialah jenama yang melakar namanya di pasaran Malaysia sebagai jenama berbaloi dibeli kerana spesifikasi tinggi harga pula mampu milik. Era Poco menawarkan harga “power” pada harga “kedana” juga sudah berakhir. Dengan Poco F9 Ultra mereka menawarkan peranti dengan spesifikasi mercu tetapi pada harga lebih berpatutan. Tetapi adakah ia masih berbaloi dibeli dalam segmen peranti yang kompetitif ini?
Spesifikasi
| Poco F9 Ultra | |
| Skrin | 6.9″ AMOLED, 185Hz Dolby Vision, 4500 nit |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) |
| Cip | 2x 4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L 6x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M |
| Cip Grafik | Adreno 840 |
| RAM | 12/16GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.4 (Ultra Lebar) 50MP f/3.0, OIS (Telefoto 5X) |
| Kamera Swafoto | 32MP f/2.2 |
| Bateri | 8050 mAh mAh Berwayar 100W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 22.5W |
| SIM/Telefoni | Dual SIM (Nano-SIM, eSIM), 5G |
| NFC | Ya |
| Audio | Stereo dengan Bose |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin (Ultrasonik) |
| Harga Jualan | RM 3599 (12/256GB) RM 3999 (16/512GB) RM 4799 (16/1000GB) |
SKRIN dan REKAAN
Dengan skrin 6.9″ Dynamic AMOLED 2X 185Hz, F9 Ultra dilengkapi skrin terpantas pada telefon pernah saya ulas setakat ini. Tetapi ia bukan dari jenis dengan kadar segar semula berubah antara 60, 90, 120 dan 185 Hz bergantung kepada aplikasi. Sepanjang ulasan saya tidak pernah melihat kadar bingkai mencecah 185Hz.

Skrin mempunyai bezel nipis yang sekata serta permukaan yang rata. Sentuhan dikesan dengan baik pada kadar 4800Hz serta penghasilan warna juga menyerlah lengkap dengan sokongan HDR10+ dan Dolby Vision. Kandungan Dolby Vision di Netflix dan HBO Max boleh dipaparkan tanpa isu. Sudut pandangan serta kemampuan membaca skrin di kawasan terang juga amat baik.

Pengimbas cap jari ultrasonik diletakkan di bawah skrin dengan kedudukan yang senang diakses. Ia cukup tinggi dengan jari boleh diimbas dengan pantas walaupun basah. Sistem imbasan wajah turut pantas asalkan ia digunakan dalam kawasan yang terang.
Estetik tubuh berkotak yang kini ialah trend industri menjadikannya selesa di dalam tangan. Kerangka tubuh diperbuat daripada logam dengan panel polikarbonat di belakang. Kemasan pada panel ini seakan logam membuatkan ia terasa premium serta membolehkan pengecasan nirwayar dan nirwayar berbalik digunakan. Panel tidak memerangkap kotoran dengan mudah.

Bonggol berkotak daripada F8 Ultra tahun lalu kembali dengan ia adalah besar dan rata. Apabila F9 Ultra diletakkan di atas meja ia stabil tanpa isu terjungkit apabila ditekan. Tiga lensa kamera rata di dalam bonggol besar ini bersama dengan satu lagi speaker Bose untuk menawarkan audio yang lantang.
Sistem kamera tahun ini impresif dengan lensa sudut lebar 200MP dengan OIS, ultra lebar 50MP dan telefoto 5X sebesar 50MP. Tiada sistem kamera berjenama tambahan diberikan. Di hadapan kamera 32MP diletakkan dalam lubang kamera yang kecil.

Terdapat butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan yang juga diperbuat daripada logam. Di bawah diletakkan port pengecasan USB-C yang dihimpit talam SIM dan lubang untuk satu speaker stereo. Talam menyokong dua SIM fizikal. Peranti turut boleh menyokong sehingga dua eSIM. Sebuah lagi speaker diletakkan di bahagian atas bagi melengkapkan sistem stereo yang menembak ke sisi.

Bateri adalah sebesar 8050 mAh yang besar untuk peranti mercu tetapi sederhana dalam pasaran yang kini sudah dipasarkan peranti 11,000 mAh. Ia boleh dicas semula pada kuasa 100W berwayar, 50W nirwayar dan berbalik 22.5W. Seperti yang anda dapat lihat di atas, spesifikasi F9 Ultra adalah lebih baik daripada sekadar boleh tahan.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi HyperOS 3.0.309 yang saya gunakan adalah berasaskan Android 16. Semasa artikel ditulis, masih tiada kemas kini ke Android 17 diberikan. Antaramuka berfungsi dengan lancar dan responsif. Ini dibantu oleh pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang berkuasa, memori 16GB RAM LPDDR5x dan storan 512GB UFS 4.1 yang pantas. Proses pemasangan dan melancarkan aplikasi juga sangat pantas.
Antaramuka HyperOS 3 nampak kemas dan selari dengan rekaan Android asli dengan beberapa penambahan khusus Xiaomi. Era antaramuka peranti China yang tidak menarik sudah lebih 5 tahun berakhir. Malahan boleh dikatakan pengeluar China seperti Xiaomi kini lebih ke hadapan memberikan pelbagai ciri estetik seperti video skrin kunci yang berubah mengikut waktu dan pelbagai widget berguna boleh diletakkan.

Ciri menarik pada HyperOS 3 ialah HyperIsland yang mirip dengan Dynamic Island di iOS. Tingkap mini HyperIsland memaparkan maklumat muzik yang sedang dimainkan, kepantasan pengecasan, tahap bateri fon telinga, aktiviti secara langsung, dan banyak lagi. Dua aktiviti boleh dipaparkan oleh HyperIsland dengan satu dalam tingkap berbentuk bujur dan satu lagi dalam bulatan.
Kemudian terdapat Memory Extension yang menambah memori sehingga 16GB RAM sekiranya perlu. Ciri ini turut boleh dimatikan oleh pengguna.

Terdapat sokongan Circle to Search dan Google Gemini. Xiaomi HyperAI pula boleh melakukan alih bahasa secara masa nyata, suntingan gambar, membesarkan gambar, ringkasan dokumen, menghasikkan transkrip daripada audio yang dirakam, dan menjana sari kata untuk video secara automatik.
Kekurangan hanyalah ciri lebih premium Google Personal Intelligence dan Gemini Intelligence masih terkunci untuk peranti Google serta Samsung sahaja. Pada waktu yang sama ciri tambahan lebih berkuasa ini memerlukan langganan Google AI untuk dinikmati sepenuhnya. Iklan juga muncul dalam beberapa aplikasi natif Poco dengan proses mematikannya agak leceh.

Ekosistem Apple seperti iPhone, iPad dan Macbook disokong menerusi ciri Xiaomi Interconnectivity. Penghantaran fail rentas platform turut boleh dilakukan menggunakan Xiaomi Share. Sokongan Android Quick Share secara natif menggunakan protokol AirDrop pula belum diterima Poco F9 Ultra.
Poco F9 Ultra menerima sokongan kemas kini 4 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti yang adalah lebih rendah berbanding peranti mercu Xiaomi, Samsung, Google, Honor dan Oppo.
PENANDA ARAS
Berikut ialah markah penanda aras untuk F9 Ultra apabila dibandingkan dengan beberapa peranti kelas mercu di pasaran Malaysia.
- Samsung Galaxy Z Flip8 – Exynos 2600
- Google Pixel 11 Pro Fold – Tensor G6
- Oppo Find X9 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
- Aple iPhone 18 Pro – A20 Pro
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Poco F9 Ultra | 4,077,407 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 2,463,934 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1,212,510 |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3,517,879 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Poco F9 Ultra | 2037 | 7914 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 1923 | 5091 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1764 | 4688 |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3999 | 11338 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Poco F9 Ultra | 7353 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 4099 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 3318 |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Apple iPhone 18 Pro | 7843 |

Prestasi menjalankan aplikasi lazim dan permua kelas mercu adalah sangat baik. Tidak mengejutkan kerana cip yang digunakan berkuasa dipadankan dengan memori dan storan yang pantas. Menjalankan permua grafik tinggi seperti COD Mobile dan Zenless Zone Zero juga menjadikan peranti agak panas walaupun ia dilengkapi kebuk wasap untuk penyejukan.
Dalam ujian Antutu 3D, ia menjadi sangat panas sehingga sukar dipegang. Memang skor mencecah 4 juta tetapi suhu peranti juga terasa seakan 4 juta Fahrenheit! Isu tidak berlaku apabila menjalankan aplikasi lazim atau permua grafik rendah yang lain.
KAMERA
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra lebar 50MP dan telefoto optikal 5X 50MP. Kamera swafoto hadapan pula sebesar 32MP. Konfigurasi kamera yang amat berkuasa pada sebuah telefon pintar mercu. Tiada sokongan lensa atau sistem fotografi Leica disertakan tetapi pada hemat saya gambar yang ditangkap adalah memuaskan.
Gambar nampak tajam dan warna juga menyerlah dalam semua situasi. Sistem kamera yang diberikan adalah cukup berkuasa walaupun peranti ini ditawarkan di bawah jenama mampu milik Xiaomi. Kamera juga pantas dengan satu-satunya isu yang saya sedari ialah ia menjadi sedikit panas apabila mengambil banyak gambar secara berterusan.








Berikut pula ialah gambar yang diambil pada tetapan zum 1x, 3x, 5X, 10x, dan 30x. Kualiti gambar hanya kelihatan elok sehingga 10X walaupun pada waktu malam yang sangatlah menakjubkan. Warna tidak pudar cuma imej mula kelihatan lembut. Gambar hanya benar-benar nampak tidak boleh digunakan pada tetapan zum 30x.





AUDIO
Dua speaker stereo menembak ke sisi dipadankan dengan satu subwoofer pada bonggol kamera yang ditala oleh Bose. Kualiti audio adalah amat baik dengan tiada isu pecah pada tetapan tinggal. Prestasi speaker adalah baik khususnya dalam penghasilan bass kerana wujudnya subwoofer. Poco turut menawarkan ciri lampu notifikasi pada subwoofer yang boleh diubah untuk berkelip mengikut alunan audio yang dimainkan.

BATERI
Bateri 8050 mAh menyokong pengecasan 100W secara berwayar dan 50W secara nirwayar. Bateri boleh bertahan lebih daripada sehari dalam penggunaan sederhana. SOT sehingga 13-14 jam adalah normal kerana bateri yang besar. Pengecasan semula mengambil masa sekitar 55 minit sahaja dengan ini adalah amat pantas.

Pengecas 100W diberikan dalam kotak tetapi ia dari jenis USB-A ke USB-C. Pengecas ini diperlukan untuk mod pengecasan paling panta kerana pengecas pantas pihak ketika seperti Anker dan Ugreen tidak menyokong format HyperCharge pantas.
PESAING

| Poco F9 Ultra | Vivo X300 Ultra | Oppo Find X9 Ultra |
| 6.9″ AMOLED, 185Hz Dolby Vision, 4500 nit | 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 4500 nit | 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 3600 nit |
| Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x 4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L 6x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x 4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M |
| Adreno 840 | Adreno 840 | Adreno 840 |
| 12/16 GB LPDDR5X | 16 GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDDR5X |
| 256/512/1000 GB UFS 4.0 | 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.4 (Ultra Lebar) 50MP f/3.0, OIS (Telefoto 5X) | Kamera Utama 200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200MP f/2.7, OIS (Telefoto 3.7X) Lensa Zeiss | Kamera Utama 200 MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.2, OIS (Telefoto 3X) 50 MP f/3.5, OIS (Telefoto 10X) Kamera Hasselblad |
| Kamera Hadapan 32 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.5 | Kamera Hadapan 50MP f/2.4 |
| IP68 | IP69 | IP69 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo Speaker BOSE | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 8050 mAh mAh Berwayar 100W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 22.5W | 6600 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 60W Nirwayar Berbalik 10W | 7050 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W |
| HyperOS 3, Android 16 Kemaskini 4+6 tahun | OriginOS 6, Android 16 Kemaskini 5+7 Tahun | ColorOS 16,Android 16, Kemaskini 5+6 Tahun |
| Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan Mei 2026 | Dilancarkan April 2026 |
| RM 3599 (12/256GB) RM 3999 (16/512GB) RM 4799 (16/1000GB) | RM 6,799 (16/512GB) RM 7,799 (16/1000GB) | RM 6,799 (12/512GB) RM 7,799 (16/1000GB |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Poco F9 Ultra
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 100W Xiaomi HyperCharge USB-A
- Kerangka plastik
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Poco F9 Ultra ialah peranti yang saya masukkan ke dalam segmen mercu mampu milik yang berbaloi kerana prestasi cemerlang, binaan yang baik, skrin mantap, bateri besar dengan sokongan pengecasan pantas, sistem audio baik dan kamera yang kompeten. Semuanya dalam pakej harga jualan bermula RM 3599 sebuah untuk 12/256GB. Yang nampak mahal tetapi peranti lain dalam kelas ini dijual jauh lebih mahal kerana krisis RAM global yang kronik.

Isu yang wujud hanyalah kecil seperti iklan, masih Android 16 dalam perisian dan sokongan perisian selama 4+6 tahun sahaja berbanding peranti lain dalam kelas ini yang disokong selama 7 tahun.
Pro
- Rekaan kemas dan premium.
- Cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang berkuasa.
- Kalis air IP68.
- Kamera yang versatil dalam pelbagai situasi.
- Sistem audio yang baik.
- Bateri besar dan pengecasan 100W amat pantas.
Kontra
- Menjadi agak panas apabila menjalan permua grafik tinggi.
- Iklan dalam beberapa aplikasi Xiaomi.
- Sokongan perisian 4+6 tahun sahaja.
- Masih Android 16.
