Kuasa AI Dilancarkan – Menawarkan Sistem Dikuasakan AI Untuk Membantu Tugasan PKS
Terdapat beberapa perisian yang memfokuskan dalam membantu perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia. Terbaru, turut menyertainya adalah Kuasa AI, yang diperkenalkan oleh Funnel Evo. Melalui Kuasa AI, ia menyediakan beberapa sokongan kemudahan dikuasakan AI dalam memudahkan urusan harian para pemilik perniagaan kecil.

Antara yang ditawarkan melalui Kuasa AI adalah sokongan menjana iklan secara automatik dan terus menguruskan pengiklanan melalui Facebook, Instagram dan Threads. Ejen AI juga boleh membantu dalam menawarkan khidmat pelanggan, sokongan pengurusan sumber manusia, sokongan perakauan dan lain-lain.
Sejumlah sokongan pemalam turut disediakan bagi memudahkan pengguna pautkan aplikasi lain yang digunakan dalam perniagaan bersama Kuasa AI. Melalui demo juga, Kuasa AI memperlihatkan kebolehan menjana sejumlah gambar dan melakukan ujian pengiklanan, seterusnya melihat kepada maklumbalas pelanggan sebelum lebih mengoptimasikan pengiklanan berkenaan.

Kuasa AI ditawarkan pada harga bermula RM199 sebulan yang hadir dengan sokongan token dan ditolak berasaskan penggunaan. Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Kuasa AI hari ini melalui ujian 14 hari yang diberikan melaluinya.