Google SynthID Detector Yang Mengesan Kandungan Dijana AI Kini Boleh Diakses Semua
Effi Saharudin
Dunia kini dipenuhi kepalsuan dengan ia bukan sekadar hiperbola lirik lagu leleh 1980an. Akses mudah kepada alat janaan kecerdasan buatan (AI) generatif membuatkan gambar, video dan audio palsu boleh dijana secara percuma dengan pantas. Pagi ini Google membuka akses kepada SynthID Detector untuk semua pengguna di seluruh dunia.

SynthID Detector mengesan gambar, video dan audio yang dijana menggunakan AI. Ia memberikan anggaran sama ada ia benar-benar palsu dalam bentuk peratusan. Google menyatakan alat ini menyokong kandungan AI daripada beberapa organisasi termasuk OpenAI, NVIDIA, Kakao, dan kelak oleh Apple.
Google sudah lama menyedari isu yang akan timbul apabila alat AI generatif mudah diakses umum. Mereka mewujudkan sistem SynthID yang membenamkan tera air yang tidak boleh dilihat mata manusia pada kandungan yang dijana sejak 2023. SynthID kini digunakan sebagai standard pada kebanyakan alat janaan menggunakan AI generatif di pasaran.
Menurut Googl, setakat ini SynthID telah membenamkan tanda air pada lebih daripada 180 bilion gambar dan video serta audio dengan tempoh 240,000 tahun yang dijana AI. SynthID Detector boleh diakses menggunakan pautan di bawah.
Sumber – SynthID Detector