Google Playground Dilancarkan Platform Membangunkan Permainan Video Dengan Bantuan AI
Effi Saharudin
Setelah sekian lama menunjukkan eksperimen kecerdasan buatan (AI) menjana permainan video pendek, Google hari ini melancarkan platform Playground. Pengguna boleh mengubah idea untuk permainan video dalam kepala menjadi realiti menerusi Playground dengan hanya memasukkan input prom.
Permainan video boleh dihasilkan tanpa sebarang pengetahuan pengekodan atau pembangunan sebelum ini. Selepas permainan video dijana ia boleh disimpan, dikongsi kepada rakan terdekat atau diterbitkan dalam komuniti Playground untuk dicuba oleh semua. Kesemuanya diakses menerusi pelayar web sahaja.
Pengguna hanya perlu menulis prom menerangkan apakah jenis permainan yang ingin dibangunkan, pilih grafik 2D atau 3D dan akhir sekali permainan adalah solo atau multi pemain. Imej pengolokan dan aset yang bakal digunakan disenaraikan oleh playground sebelum permainan dijana ke versi akhir.

Ini sekadar langkah pertama kerana kelak Playground akan menyokong integrasi dengan Unity Spark yang membolehkan grafik 3D yang berkualiti tinggi, mekanik permainan yang lebih maju dan penggunaan enjin Unity yang lebih profesional. Pada waktu ini akses Unity Spark masih di tahap beta tertutup untuk diuji terlebih dahulu.
Playground kini boleh diakses pengguna berusia 18 tahun ke atas di Amerika Syarikat sahaja dengan had janaan permainan adalah bergantung kepada langganan pelan Google AI peribadi.
Sumber – Google Playground