AMD Mengesahkan Teknologi FSR 4 Akan Diperkenalkan Untuk Platform APU Mereka
Nazrin
Teknologi Fidelity Super Resolution (FSR) oleh AMD membolehkan kad-kad grafik moden mereka menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk menawarkan prestasi permainan komputer yang lebih baik dari segi resolusi dan kadar bingkai yang lebih tinggi dan olahan grafik yang lebih mendalam.
Versi terkini teknologi tersebut, iaitu FSR 4.0 dengan fungsi MultiFrame Generation dan sebagainya kini terhad kepada siri kad grafik AMD Radeon RX 9000 terlebih dahulu sebelum ditawarkan kepada siri kad grafik AMD Radeon RX 7000 baru-baru ini.

Terkini, laporan oleh The Elec, sebuah laman berita teknologi di Korea Selatan telah mengatakan bahawa AMD, melalui Jack Huynh, SVP dan Pengurus Besar bahagian perkomputeran dan grafik di AMD mengatakan bahawa teknologi olahan grafik tersebut akan diperkenalkan untuk penawaran cip pemprosesan APU (Accelerated Processing Unit) mereka yang menggabungkan cip pemprosesan AMD Ryzen bersama-sama cip grafik RDNA 3.5 dalam satu pakej, termasuklah cip-cip seperti AMD Ryzen Z2/Z2 Extreme dan AMD Ryzen 8000G.
Jack Huynh mengatakan bahawa AMD menjangka bahawa sokongan untuk FSR 4 dijangka akan diperkenalkan kepada cip-cip APU tersebut menjelang penghujung tahun ini, lebih awal berbanding dengan penawaran sokongan kepada siri kad grafik AMD Radeon RX5000. Mereka akan menyenaraikan model-model cip pemprosesan APU yang akan menerima sokongan tersebut kelak.
Pengenalan teknologi olahan grafik tersebut dilihat akan sedikit sebanyak membantu AMD untuk memanjangkan tempoh bolehpakai cip-cip pemprosesan ini, dimana mereka tidak perlu membeli konsol atau komputer riba baru untuk mendapatkan manfaat teknologi-teknologi terbaru AMD.
Sumber: The Elec