Dua Model Lenovo 9n Dengan Cip NVIDIA RTX Spark N1x Dilancarkan
Effi Saharudin
Mengikut langkah Microsoft, ASUS dan MSI, Lenovo juga mula menjual dua model komputer riba Lenovo Yoga 9n yang dilengkapi cip berkuasa tinggi NVIDIA RTX Spark N1x. Dua model yang ditawarkan ialah Lenovo Pro 9n (15″, 11) dan Lenovo Yoga 9n 2-in-1 (16″, 11). Perbezaan ialah model Yoga mempunyai skrin sesentuh yang boleh dilipat 360 darjah menjadikannya sebuah tablet.

Lenovo Yoga 9n 2-in-1 (16″, 11) hadir dengan skrin 16″ PureSight Pro OLED dengan kadar segar semula 120Hz VRR, resolusi sehingga 2.8K dan menyokong Dolby Vision. Ini dipadankan dengan cip NVIDIA RTX Spark N1x, memori sehingga 64GB RAM LPDDR5X 9400MT/s, storan sehingga 2TB PCIe SSD Gen 4 QLC M.2 2242 dan bateri 99.9Whr.

Turut disertakan ialah kamera web 9.2MP IR, 6 speaker yang menyokong Dolby Atmos, pad sesentuh Haptic Force Pad, sokongan stylus Yoga Pen, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan papan kekunci yang mempunyai sokongan lampu. Keseluruhan komputer riba adalah seberat 1.94kg.
Lenovo Pro 9n (15″, 11) pula hadir dengan skrin 15.3″ PureSight Pro OLED dengan kadar segar semula 120Hz VRR, resolusi sehingga 2.5K dan menyokong Dolby Vision. Ini dipadankan dengan cip NVIDIA RTX Spark N1x, memori sehingga 128GB RAM LPDDR5X 9400MT/s, storan sehingga 4TB PCIe SSD Gen 4 QLC M.2 2242 dan bateri 92.5Whr.
Turut disertakan ialah kamera web 9.2MP IR, 4 speaker yang menyokong Dolby Atmos, pad sesentuh Haptic Force Pad, sokongan stylus Yoga Pen, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan papan kekunci yang mempunyai sokongan lampu.

Kedua-dua komputer menggunakan sistem operasi Windows 11. Selain boleh digunakan pada skrin, YogaPen juga boleh digunakan atas permukaan pad sesentuh Haptic Force Pad.
Harga jualan untuk Lenovo Pro 9n (15″, 11) dan Lenovo Yoga Pro 9n 2-in-1 (16″, 11) masing-masing bermula $2999.99 (~RM 12,265.20) sebuah.