ColorOS 17 Dilancarkan Untuk Peranti Oppo Global
Amy Maizuraa
Oppo hari ini melancarkan antaramuka baharu ColorOS 17 untuk pengguna global. Sistem ini diperkenalkan terlebih dahulu pada siri Find X10 sebelum ditawarkan secara berperingkat kepada peranti lain. Dibina berasaskan Android 17, ia hadir dengan ciri AI lebih canggih serta prestasi lebih pantas untuk pengalaman penggunaan yang lebih lancar.

Melalui ColorOS 17, Oppo memperkenalkan konsep reka bentuk baharu yang dinamakan Fluid Design. Ia memberi penekanan terhadap paparan lebih menenangkan dengan Luminous Effect, animasi lancar melalui Fluid Motion serta pengalaman penggunaan yang responsif melalui Flexible Feedback. Pendekatan tersebut diyakini mampu mengekalkan keseragaman paparan, animasi dan tindak balas sentuhan di seluruh sistem. Berasaskan Living Flow Design, pengguna akan dapat merasai pengalaman yang lebih konsisten dan menyeluruh.

ColorOS 17 turut hadir dengan sistem Unified Rendering Architecture yang mampu mengurangkan beban kerja grafik sehingga 30% dan penggunaan RAM sehingga 25%. Enjin baharu Laminar Flow pula menjadikan aplikasi lebih stabil dengan kelancaran meningkat 55% dan paparan pratonton imej lebih pantas sehingga 50%. Kemampuan multi‑tugas turut dipertingkatkan dengan membolehkan sehingga 25% lebih banyak aplikasi kekal aktif di latar belakang.

Selain itu, Oppo turut memberi tumpuan kepada ciri AI baharu dalam ColorOS 17. AI Mind Pilot berfungsi sebagai agen pintar yang boleh mengurus fail dan gambar serta menghasilkan maklumat terperinci seperti itinerari atau laman web. AI Photo Agent pula membolehkan pengguna menyunting gambar berdasarkan gaya rujukan atau arahan bahasa semula jadi.

Pada masa yang sama, AI Mind Space dan Memory Collections menyediakan pusat maklumat peribadi dengan koleksi automatik, manakala AI Mind Suggest menawarkan cadangan pintar seperti ringkasan harian, perjalanan dan muzik. Sementara itu, OSee hadir sebagai AI berasaskan imej yang mampu mengenal pasti objek, menganalisis kandungan makanan, melakukan imbasan HD dan menyediakan terjemahan secara langsung.

Oppo juga bekerjasama dengan Manus untuk meningkatkan kemampuan AI dalam ColorOS 17. Dengan teknologi Manus, sistem ini bukan sahaja boleh menjawab soalan tetapi bertindak sebagai agen pintar yang mampu mengurus fail, menyusun dokumen, menghasilkan itinerari dan menyunting foto secara automatik. Kerjasama ini menjadikan AI dalam antaramuka ini lebih menyeluruh kerana bukan hanya direka untuk berbual tetapi bantu menyelesaikan tugasan harian dengan lebih efisien.

ColorOS 17 turut mementingkan keselamatan dengan memperkenalkan Private Computing Cloud yang dilengkapi perlindungan hujung ke hujung serta teknologi pasca-kuantum bagi melindungi data pengguna. Transparency Report pula membolehkan pengguna memantau bagaimana data mereka diproses manakala AI Call Guard berfungsi sebagai benteng terhadap penipuan menggunakan suara sintetik atau teknik pertukaran wajah.
Sumber: OPPO ColorOS 17 OPPO Global