Sistem Amaran Bencana Sistem Siaran Sel (CBS) Akan Mula Diuji Pada 19 November
Amy Maizuraa
Sistem Amaran Bencana berasaskan Cell Broadcast System (CBS) yang dibangunkan oleh SKMM menghampiri fasa akhir pembangunan dengan ujian lapangan dijadualkan pada 19 November ini. Ini menandakan langkah penting dalam usaha negara ini meningkatkan tahap persediaan menghadapi bencana.

CBS berfungsi menghantar amaran terus ke telefon di kawasan terjejas tanpa memerlukan nombor telefon, SMS atau sambungan internet. Ia beroperasi selagi terdapat sekurang-kurangnya satu rangkaian mudah alih aktif dan dinilai lebih pantas serta tepat berbanding sistem SMS sedia ada. Sistem ini turut dilengkapi dengan ciri mesra pengguna seperti getaran, audio dan bacaan automatik bagi memastikan golongan kurang upaya (OKU) tidak terlepas maklumat kritikal ketika bencana.

Ujian yang bakal dijalankan akan menilai keupayaan CBS menyampaikan notifikasi kecemasan di kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi mudah banjir seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang. Latihan ini hanya ujian lapangan dan tidak menandakan berlakunya bencana sebenar tetapi dianggap penting untuk menilai tahap kesediaan semua pihak dalam menghadapi keadaan darurat.

Tidak seperti SMS biasa, sistem ini menghantar mesej kecemasan terus ke telefon bimbit dalam kawasan liputan menara selular. Dengan cara ini, semua orang di kawasan terjejas akan menerima amaran secara automatik tanpa perlu mendaftar nombor telefon, manakala pihak berkuasa boleh menyampaikan amaran kepada ramai orang sekaligus bukan satu persatu.
Turut difahamkan, sistem ini tidak memerlukan sambungan internet atau aplikasi khas, dan boleh digunakan oleh semua pengguna telefon selagi ada rangkaian mudah alih yang aktif. Namun, sekiranya rangkaian terputus akibat bencana, amaran hanya dapat dihantar semula selepas sambungan dipulihkan.
Sumber: NST