Microsoft Memperkenalkan Alat Kawalan Permainan Kecil Xbox Nano Controller
Nazrin
Alat kawalan bersaiz kecil bukanlah sesuatu konsep yang baru. Di pasaran kini terdapat jenama-jenama seperti 8BitDo, GameSir dan sebagainya cukup terkenal untuk penawaran alat kawalan bersaiz kecil yang sesuai digunakan untuk gamer yang sering merantau dan memerlukan sebuah aksesori kawalan gaming yang mudah dibawa kemana-mana.

Terkini, Microsoft nampaknya mahu memasuki pasaran tersebut, dengan penawaran alat kawalan permainan trerbaru mereka yang dinamakan Microsoft Xbox Nano Controller. Alat kawalan ini hadir dengan panjang lima inci dan seberat 99 gram sahaja, direka khas untuk mereka yang mahukan alat kawalan permainan yang kecil untuk pelbagai sebab, seperti untuk tangan yang kecil, untuk kanak-kanak, dan mereka yang mahukan sesuatu yang boleh disimpan dan dibawa kemana-mana dengan mudah.

Walaupun ia hadir dengan saiz yang padat, alat kawalan Xbox Nano ini hadir dengan kesemua 18 input kawalan yang diperlihatkan pada sebuah alat kawalan Xbox Controller bersaiz biasa. Ia juga hadir dengan satu butang tambahan yang boleh diprogramkan semula untuk melakukan tugasan-tugasan seperti tangkapan layar, merakam skrin dan lain-lain.

Selain daripada saiz dan rekaan, satu lagi perbezaan utama ialah alat kawalan Xbox Nano hadir dengan bateri terbina didalamnya yang boleh dicas melalui kabel USB Type-C. Dari segi sambungan pula, alat kawalan ini boleh digunakan dengan sistem-sistem berikut:
- Xbox Series X|S dan Xbox One: Sokongan sambungan Xbox Wireless
- PC Windows 10 dan Windows 11: Sambungan Bluetooth
- Peranti Android dan iOS: Sambungan Bluetooth
- Televisyen pintar dan tablet: Sambungan Bluetooth

Microsoft telah membuka pra-tempahan untuk alat kawalan ini untuk pasaran-pasaran terpilih pada harga $49.99, dan ia dijangka akan mula dijual pada bulan November kelak.
Sumber: Microsoft Xbox