Tesla Roadster Dilancarkan Dengan Kemampuan Melekap Pada Jalan dan Terapung Di Udara
Effi Saharudin
Selepas sembilan tahun mendiamkan diri tanpa sebarang berita, Tesla Roadster dilancarkan secara rasmi pagi ini dengan demo menunjukkan ia boleh melekap pada permukaan jalan raya dan terapung sebelum mendarat ke permukaan jalan. Dalam skala 1-10, demo yang dilakukan oleh Tesla Roaster pagi tadi mungkin boleh diberikan 20 markah kerana sangat melampau dan cukup tidak disangka.

Tesla Roadster kini akan mula dijual bermula 2028 menurut Elon Musk. Rekaannya mirip bahagian hadapan Lamborghini Gallardo yang bersegi serta lampu yang disorokkan apabila tidak digunakan. Sementara pada bahagian belakang, palang lampu merah dan tayar yang sedikit terdedah mirip kereta Quadra Turbo-R V-Tech milik V dalam Cyberpunk 2077.
Dua pintu sayap samar digunakan dengan ia sama dengan yang dilihat pada Cybercab. Kabin hanya menempatkan dua individu dalam kerusi bakul dengan stereng dalam bentuk yoke. Skrin tengah dipasang sendeng menghadap pemandu. Di belakang sebuah spoiler aktif digunakan dengan ia berubah posisi mengikut kelajuan.

Roaster boleh melekap pada permukaan jalan sehingga terbalik kerana dilengkapi sistem kipas penyedut yang sebelum ini dilihat pada McMurty Speirling. Sistem ini memberikan sedutan sehingga 2G membolehkan ia membelok pada kelajuan yang biasanya membuatkan kenderaan lain terbabas.

Dalam demo pagi tadi, sistem pendorang gas termampat turut diperlihatkan untuk melakukan pecutan pantas dan memutarkan Roadster ketika di udara. Selepas “terbang” seketika, ia terapung menggunakan sistem pendorong gas yang sama untuk mendarat dengan selamat. Kepakaran SpaceX digunakan untuk membolehkan sistem ini digunakan pada Roadster.

Menurut Tesla, Roadstar boleh memecut daripada 0-100 kmj dalam masa 0.81 saat sahaja dengan kelajuan maksimum melebihi 370 km/j. Kuasa motor, jumlah motor, kapasiti bateri, sistem pengecas dan jarak perjalanan boleh dilakukan masih lagi dirahsiakan.

Tiga model akan ditawarkan ke pasaran. Performance hadir dengan sistem kipas sedutan. Thrust pula dengan sistem pendorong memberikan pecutan ultra pantas. Akhir sekali ialah Rocket dengan 10 pendorong gas termampat tetapi ia hanya ditawarkan menerusi sistem jemputan khas sahaja. Ini mungkin bagi mengelakkan liabiliti sekiranya berlaku kecelakaan.
Tesla belum mengumumkan harga jualan tetapi pratempahan baharu dibuka di Malaysia dengan bayaran pendahuluan RM 203,000
