Teknologi Pengiklan Firma Israel Memasang Perisian Hasad Pada Peranti Tanpa Disedari
Effi Saharudin
Kurang sebulan lalu, Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran Israel boleh melakukan serangan siber pada telefon pintar selepas dengan angkuhnya mengaku melakukan serangan bom menggunakan mesin kelui dan radio di Lubnan dua tahun lalu. Ada yang mengatakan ini sekadar amaran kosong tetapi laporan daripada Citizen Lab mendapati ini sebenarnya sudah berlaku melibatkan jutaan peranti.

Penyelidik dari Citizen Lab di Universiti Toronto mendakwa Discover-Tech, sebuah firma pengiklanan digital Israel menggunakan iklan atas talian sebagai saluran untuk memasang perisian pengintip pada peranti sasaran.
Yang menjadikan teknologi platform pengiklanan yang diberi nama Controlium ini menggerunkan ialah, ia tidak tidak memerlukan mangsa mengklik apa-apa pautan (klik-sifar), membuka fail atau melakukan sebarang tindakan. Jangkitan boleh berlaku tanpa disedari pemilik peranti dalam masa beberapa saat.
Iklan yang dipaparkan kelihatan seperti iklan lazim tetapi Controlium mengumpulkan maklumat seperti identiti pengguna dan alamat IP. Jika pengguna dikenal pasti sebagai sasaran, pembekal perisian pengintip pihak ketiga boleh menghantar kod berniat jahat yang memasangnya secara automatik.
Dalam laporan Citizen Lab, mereka mempercayai puluhan peranti milik wartawan dan kakitangan Al Jazeera telah dijangkiti perisian hasad menggunakan Controlium. Sementara itu jutaan pengguna di seluruh dunia dikatakan telah menerima iklan daripada Discover-Tech sejak 2024.
Vektor penyebaran virus dan perisian hasad kini semakin canggih dengan iklan yang dianggap sebagai bukan sumber bahaya kini boleh menjadi sumber serangan. Maka jangan salahkan pengguna yang memasang pemalam menghalang iklan bagi mengelakkan diri menjadi mangsa.