Muse Spark Open Ialah Model AI Yang Boleh Digerakkan Menggunakan Mac Dengan Cip M5 Ultra
Nazrin
Meta baru-baru ini telah memperkenalkan model kecerdasan buatan terbaru mereka yang dinamakan Muse Spark Open, iaitu sebuah model AI multimodal yang hadir dengan sokongan untuk 816 bilion parameter dan juga kebolehan memproses konteks input dan output sebanyak 1 juta token sekaligus.
Muse Spark Open hadir dengan sokongan multimodal (sokongan untuk memproses data dari pelbagai sumber, termasuklah teks, audio, video dan sebagainya) dan dibina khas untuk membolehkan pembangun bukan sahaja membangunkan pelbagai jenis teknologi kecerdasan buatan, tetapi juga untuk digunakan sebagai ejen AI untuk pelbagai jenis tugasan yang diperlukan.

Walaupun begitu, Meta turut mengatakan bahawa untuk penggunaan tersebut, syarikat ataupun pembangun masih akan memerlukan komputer dengan jumlah memori sekurang-kurangnya 1TB untuk menggunakan Muse Spark Open secara optima.
Satu keunikan mengenai model AI Muse Spark Open ini ialah ia boleh digunakan secara optimum apabila dipasang pada komputer-komputer seperti Mac Studio yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Apple M5 Ultra yang terbaru. Meta mengatakan dengan komputer tersebut (dengan konfigurasi memori 256GB), pengguna boleh mula memanfaatkan model AI tersebut menggunakan dua komputer Mac Studio yang disambungkan secara daisy-chain.
Walaupun begitu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan Muse Spark Open secara awanan, dimana ia boleh diakses melalui platform API seperti Baseten, Fireworks AI, Groq, Modal, Nebius, OpenRouter dan Together AI. Model sumber terbuka ataupun AI model weights pula boleh dimuat-turun melalui gedung-gedung digital seperti Amazon SageMaker AI, Google Cloud Model Garden, Hugging Face, dan Microsoft Foundry Models.
Sumber: Meta