Sony Lancar 3 Walkman Premium Disadur Emas dan Menggunakan Android
Walkman pertama dilancarkan pada tahun 1979 dan sekaligus menjadi Sony kuasa besar dalam dunia audio sehingga ke hari ini. Hari ini mereka. melancarkan tiga model Walkman baharu untuk memainkan fail audio berdefinisi tinggi atau menstrim audio yang dikuasakan Android.

NW-WM1ZM3 ialah model paling mercu dengan skrin 5.5″ TFT sesentuh, storan 256GB (dengan sokongan kad micro SD) dan tubuh daripada tembaga yang disadur dengan emas. Cesi utama pula diperbuat daripada logam aluminium yang dipasang menggunakan skru yang juga disadur emas. Hasilnya menurut Sony memberikan sambungan ke bumi yang stabil untuk memberikan audio yang lancar, pentas yang lebih luas, bass berkuasa dan audio frekuensi tinggi lebih luas.

Sistem wayar KIMBER KABLE daripada Sony’s DMP-Z1 digunakan semula untuk mengurangkan hingar dan mengekalkan integriti isyarat digital untuk audio lebih terperinci. Bateri boleh bertahan sehingga 35 jam jika memainkan MP3 128kbps atau 31 jam jika menstrim audio. Sambungan boleh dilakukan menggunakan Bluetooth, bicu stereo mini atau bicu balanced standard.

NW-WM1AM3 pula ialah sama seperti NW-WM1ZM3 cuma tanpa tubuh yang disadur dengan emas. Hanya cesi dalaman sahaja mempunyai saduran emas untuk kualiti audio lebih baik.
Akhir sekali NW-ZX900 ialah model dengan cesi dalam kuprum yang disadur emas dan tubuh luaran daripada bongkah aluminium yang lebih berkotak. Ia hadir dengan skrin 5″ TFT dengan sokongan sentuhan. Bateri boleh bertahan sehingga 40 jam memainkanMP3 128kbps dan 35 jam menggunakan aplikasi penstriman.

Ketiga-tiga model mempunyai sokongan audio berdefinisi tinggi secara berwayar dan nirwayar menggunakan LDAC. Terdapat mod yang mengubah audio seperti ia dimainkan daripada sebuah piring hitam.

Antaramuka mengubah pelbagai tetapan audio kelihatan seperti tombol fizikal pada perkakasan audio klasik. Semua butang fizikal diletakkan pada sisi kanan seperti Walkman asal. Sistem operasi yang digunakan pula masih Android 16. Harga jualan adalah seperti di bawah.
Sony NW-WM1ZM3 – $5,899 (~RM 24,100)
Sony NW-WM1AM3 – $2,999.99 (~RM 12,223)
Sony NW-ZX900 – $1,899.99 (~RM 7760)