Samsung Berkongsi Visi Bank dan Hospital Moden Menggunakan Ekosistem Semasa
Di Hanoi Rabu lalu, saya dijemput untuk melihat beberapa produk mesin dobi B2B baharu serta ciri yang diterima peti sejuk pintar menerusi kemas kini Tizen. Di rung pameran yang sama, saya turut diberikan akses kepada visi ruang bank serta hospital moden yang menggunakan teknologi semasa Samsung.
Teknologi Samsung jarang sekali dikaitkan dengan ruang komersial memandangkan ia adalah jenama yang lebih terkemuka dalam ruangan konsumer.
S Bank
Menerusi ruang visi “ S Bank”, ditunjukkan teknologi tablet, telefon, TV dan skrin yang boleh digunakan untuk meningkatkan lagi pengalaman pelanggan.

Bermula dengan tablet yang boleh mengesahkan identiti pelanggan dengan melakukan tap kad pengenalan kepada sistem NFC. Pengesahan dilakukan lebih pantas berbanding menggunakan kad pengenalan diri fizikal atau sistem membaca cip sedia ada. Urusan kemudian boleh disahkan dengan pelanggan menurunkan tanda tangan menggunakan S Pen pada skrin tablet.

Dalam perbincangan dengan pelanggan pula, pekerja bank boleh memancarkan kandungan telefon atau tablet terus pada skrin TV dengan Tizen OS menggunakan sistem DeX nirwayar. Perbincangan mengenai skim pelaburan, data saham dan portfolio pinjaman bank dipancarkan pada TV bersaiz besar yang boleh dilihat lebih jelas oleh pelanggan.

Akhir sekali Samsung menawarkan papan e-ink yang boleh digantung pada dinding untuk memaparkan iklan berkaitan perkhidmatan bank. Kerana ia skrin e-ink, ia tidak memerlukan kabel kuasa sepanjang masa. Bateri yang disertakan boleh bertahan selama 300 hari sebelum perlu dicas semula. Iklan boleh ditukar secara nirwayar menggunakan perisian Samsung. Bagi bank tiada lagi keperluan untuk mencetak poster pada dinding yang mengambil masa untuk ditukar.

S Hospital
Teknologi tablet, jam tangan pintar dan TV pintar Samsung turut boleh digunapakai di hospital. Tablet Tab Active 5 Pro digunakan doktor untuk mengakses sejarah peribadi, laporan ujian makmal dan nota daripada doktor lain mengenai pesakit secara setempat. Dengan kemampuan kalis air serta debu dan tahan lasak, Tab Active 5 Pro serasi digunakan di dalam hospital tanpa perlu risau mengalami kerosakan.

Pesakit boleh dipakaikan jam tangan pintar Galaxy Watch semasa menerima rawatan untuk melihat data bacaan nadi, ECG, kewujudan kehilangan rentak jantung, oksigen dalam darah, tekanan darah dan banyak lagi. Pemantauan dapat dilakukan secara masa nyata dengan maklumat disimpan terus ke awanan sebelum diakses menggunakan tablet oleh doktor.

TV pintar di dalam bilik pula membenarkan kandungan daripada telefon dipancarkan terus ke skrin. Siapa yang pernah tinggal di hospital tahu pilihan hiburan adalah terhad, kandungan pada resolusi rendah dan ingin menstrim Netflix atau YouTube sangat sukar. Dengan TV Tizen OS proses menikmati kandungan semasa menerima rawatan dipermudahkan.

Akhir sekali seperti di S Bank, doktor boleh menggunakan DeX nirwayar untuk memaparkan maklumat kepada pesakit pada skrin TV yang sama. Doktor boleh menunjukkan imbasan X-Ray, CT dan juga laporan makmal yang kemudiannya diterangkan kepada pesakit.
Kesemua ciri-ciri di atas sudahpun wujud dengan ia hanya memerlukan implementasi daripada pemilik bank dan hospital untuk menggunakannya.