Ulasan Oppo A7 Pro Max – Bateri Gergasi Bukan Segalanya
Setiap tahun, pengeluar telefon pintar akan hadir dengan ciri baharu untuk peranti mereka dan menuju akhir tahun 2026 ini trend telefon pintar dengan bateri gergasi sedang semakin popular terutamanya dalam kelas pertengahan. Perkara sama juga untuk Oppo A7 Pro Max yang hadir dengan bateri 10,000mAh namun adakah bateri gergasi ini satu tarikan yang mencukupi. Saya akan kupas lebih lanjut dalam ulasan ini.
| Skrin | 6.78″ AMOLED, 1272 x 2772 pixel, 120Hz, 1800 nit Crystal Guard |
| Pemproses | Snapdragon 4 Gen 5 (4nm) |
| Cip | 2×2.4 GHz Cortex-A78 6×2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Adreno 613 |
| RAM | 8GB RAM LPDDR4x |
| Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 (tiada microSD) |
| Kamera Utama | 50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 2MP (Monokrom) |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.0 |
| Bateri | 10,000 mAh Si/C Li-Ion 80W SUPERVOOC berwayar |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/IP69K |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM2299 (8/256GB) |
Rekaan
Peranti dari Oppo kebiasaannya akan datang dengan konsep rekaan yang pelbagai. Untuk warna Surfing Blue pada A7 Pro Max ia hadir dengan rekaan berinspirasikan ombak yang akan berubah mengikut sudut cahaya yang berbeza. Panel belakang ini adalah dari plastik dengan kemasan kusam jadi ia tidak mudah melekat cap jari. Bingkainya juga dari bahan jenis plastik yang tidak mengejutkan untuk peranti dalam kelasnya.


Kali ini Oppo membawa rekaan bonggol kamera yang berlainan pada A7 Pro Max ini dengan rekaan Horizontal Smile Deco. Bonggol kamera ini kelihatan tersenyum dengan lengkungan pada bahagian bawah dan lengkungan itu menjadi tempat untuk meletakkan jari supaya dapat memegang peranti dengan lebih sedap.
Terdapat ciri tambahan iaitu lampu notifikasi yang boleh diubah mengikut beberapa pilihan seperti mengecas, menelefon atau mendengar muzik. Sensor inframerah juga turut diletakkan pada bahagian belakang ini.

Oppo A7 Pro Max ini juga mementingkan ciri ketahanan yang luar biasa. Peranti ini dilengkapi dengan ciri kalis air dan debu IP69K yang menjadikan peranti ini sangat sesuai untuk dijadikan peranti kerja harian yang agak lasak. Skrin pula menggunakan perlindungan Crystal Glass, saya tidak pasti tentang ketahanan kaca jenis ini namun ia mampu menahan calar-balar yang tipikal.
Skrin
Oppo membekalkan skrin yang sangat baik pada A7 Pro Max ini. Dengan skrin 6.78” AMOLED yang hadir dengan resolusi 1.5K, ia memberikan pengalaman yang sangat baik dari segi ketajaman skrin dan penghasilan warna juga tidak mengecewakan untuk apa-apa jenis kandungan. Skrin ini juga datang dengan kadar segar semula 120Hz serta tahap kecerahan sehingga 1800nits untuk kandungan HDR.

Apa yang saya lebih suka adalah bezel skrin ini yang sangat sekata dan nipis untuk kesemua bahagian dengan ketebalan hanya 1.65mm sahaja. Perkara ini mungkin biasa sahaja untuk peranti mercu namun Oppo berbesar hati untuk berikan perkara yang baik ini kepada peranti kelas pertengahan mereka. Ini membuatkan pengalaman menikmati kandungan pada skrin peranti ini jadi sangat baik dan memuaskan.

Perisian
Oppo A7 Pro Max ini adalah peranti terakhir menggunakan ColorOS 16 berasaskan Android 16 sebaik sahaja keluar dari kotak. Setelah beberapa peranti Oppo dengan ColorOS 16 yang pernah saya cuba dan ulas sebelum ini, pengalaman pada peranti ini tidak jauh bezanya cuma saya dapat rasa sedikit kurang lancar pada peranti ini disebabkan penggunaan cip yang kurang berkuasa.

Antaramuka yang ditawarkan oleh Oppo melalui ColorOS 16 ini masih lagi kelihatan ceria dengan warna warninya. Pelbagai pemperibadian juga boleh dibuat untuk mengikut citarasa sendiri. Oppo memang mementingkan kelancaran yang baik pada peranti ini dengan memberikan jaminan yang kelancaran pada peranti ini boleh bertahan sehingga 6 tahun penggunaan.

Seperti kebanyakan peranti Oppo yang lain juga, A7 Pro Max ini masih lagi dimuatkan dengan beberapa aplikasi gendut sebaik sahaja anda hidupkan peranti ini buat kali pertama cuma jumlahnya tidak sebanyak seperti dahulu dan boleh terus dibuang tanpa masalah.
Prestasi
Bagaimanakah prestasi untuk cip Snapdragon 4 Gen 5 (4nm) yang terbaru ini? Saya boleh kata yang peranti ini terasa agak lancar kerana dipadankan dengan RAM sebesar 8GB LPDDR4X dan storan sebesar 265GB UFS 3.1. Berdasarkan spesifikasi diberikan ini, sudah jelas bersuluh ini bukan peranti memfokuskan prestasi yang tinggi. Anda boleh menilai sendiri dari skor penanda aras di bawah.
- Realme P4 Power- Mediatek Dimensity 7400 Ultra (4nm)
- Vivo V70 FE – Mediatek 7360-Turbo (4nm)
- Samsung Galaxy A37 5G – Exynos 1480 (4nm)
- Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)
- Honor 600 Lite – Dimensity 7100 Elite (6nm)
- Nothing Phone (3a) – Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
- Samsung Galaxy A57 5G – Exynos 1680 (4nm)
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Oppo A7 Pro Max | 687,370 |
| Realme P4 Power | 1,011,190 |
| vivo V70 FE | 940,342 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1,059,377 |
| Infinix Note Edge | 805,806 |
| Honor 600 Lite | 726,401 |
| Nothing Phone (3a) | 803,992 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1,373,996 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Oppo A7 Pro Max | 852 | 2246 |
| Realme P4 Power | 1043 | 2890 |
| vivo V70 FE | 1021 | 2941 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1138 | 3489 |
| Infinix Note Edge | 972 | 2827 |
| Honor 600 Lite | 867 | 2660 |
| Nothing Phone (3a) | 1146 | 3123 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1238 | 4410 |

3DMark Wildlife Extreme
| Peranti | Skor |
| Oppo A7 Pro Max | 398 |
| Realme P4 Power | 1021 |
| vivo V70 FE | 870 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1042 |
| Infinix Note Edge | 692 |
| Honor 600 Lite | 640 |
| Nothing Phone (3a) | 1043 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1713 |

Ini sebenarnya peranti kedua yang saya cuba dengan cip Snapdragon 4 Gen 5 ini. Pengalaman kali pertama saya agak buruk dimana peranti mempunyai masalah mikro lag yang agak ketara. Masalah itu disebabkan penggunaan RAM sebesar 4GB sahaja pada tahun 2026 yang sangat tidak relevan. Pada Oppo A7 Pro Max ini penggunaan saya terasa agak lancar untuk tugasan harian yang tipikal.

Jika dalam sesi gaming pula, permainan seperti PUBG Mobile terasa lancar jika diletakkan pada tetapan grafik rendah dengan kadar bingkai maksimum. Permua yang memerlukan grafik yang tinggi seperti Bleach : Soul Resonance memberikan pengalaman yang tidak terlalu lancar pada tetapan pertengahan sahaja. Perkara sudah dijangka untuk cip dalam kelas seperti ini.
Kamera
Sekali pandang mungkin anda terfikir yang Oppo A7 Pro Max ini mempunyai empat lensa berbeza untuk kamera belakangnya namun jangan tertipu kerana hanya terdapat satu sahaja lensa pada kamera belakang ini iaitu sudut lebar 50MP f/1.8 OIS. Pada bahagian hadapan pula terdapat lensa swafoto 50MP yang berkebolehan untuk zum.

Tiada apa-apa yang terlalu ‘wow’ pada lensa utama A7 Pro Max ini. Penghasilan gambar pada waktu siang kelihatan agak baik dengan kawalan cahaya yang baik, warna dihasilkan juga nampak natural dan tidak terlalu pekat. Ketajaman gambar juga masih lagi boleh diterima jika anda seorang yang tidak terlalu teliti kerana ada keadaan ia kelihatan sedikit lembut.




Pada waktu malam hasil gambarnya kurang memuaskan walaupun Oppo mengatakan yang peranti ini menggunakan saiz sensor yang besar. Hasil gambarnya kelihatan ada kesan ‘bloom’ pada sumber cahaya manakala dalam kawasan yang betul-betul gelap gambar yang diproses seakan tidak lengkap.




Oppo A7 Pro Max ini terdapat ciri yang pernah ada pada siri Reno sebelum ini iaitu lensa swafoto ultra-lebar dan juga boleh zum sehingga 2x. Tahap keluasannya memang boleh dipuji dan jika anda inginkan komposisi lebih ketat boleh menggunakan zum 2x. Hasil gambar untuk saya sama seperti lensa utamanya tiada apa-apa yang terlalu mengagumkan.
Bateri
Kekuatan utama peranti ini terletak pada bateri 10,000mAh ini. Ketahanannya sangat-sangat baik kerana saya boleh dapatkan penggunaan sehingga 2 hari dengan 8 jam SoT sehari. Corak penggunaan saya adalah tipikal seperti menggunakan kamera, Google Maps, melayan Youtube dan sesi gaming. Ini juga dibantu dengan cip Snapdragon yang efisien untuk penggunaan seharian.

Untuk mengecas ia menyokong pengecasan SUPERVOOC 80W yang disediakan dalam kotak. Mengecas dari 20% sehingga 80% agak pantas dengan kapasiti yang besar ini dimana ia hanya memakan masa selama lebih kurang 30 minit.
Pesaing

| Oppo A7 Pro Max | Redmi Note 17 Pro Max | Realme P4 Power 5G |
| 6.78″ AMOLED, 120Hz 1800 nit | 6.83″ AMOLED, 120Hz Dolby Vision, 3500 nit | 6.8″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 1800 nit |
| Snapdragon 4 Gen 5 (4 nm) 2 x 2.4 GHz Cortex-A78 6 x 1.95 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 6 Gen 5 (4 nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7400 Ultra (4 nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Adreno 613 | Adreno 812 | Mali-G615 MC2 |
| 8 GB LPDDR4X | 8 GB LPDDR5X | 12 GB LPDDR4X |
| 256 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 4.1 | 256 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Monokrom) | Kamera Utama 50 MP, f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) |
| Kamera Hadapan 50 MP f/2.0 | Kamera Hadapan 32 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 16 MP f/2.4 |
| IP69K | IP69K | IP69 MIL-STD-810H |
| Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Mono | Audio Stereo | Audio Mono |
| 10,000 mAh Berwayar 80W | 10,000 mAh Berwayar 100W | 10,001 mah Berwayar 80W |
| ColorOS 16, Android 16 Kemaskini ? Tahun | Android 16. HyperOS 3 Kemas kini 4+6 tahun | Android 16, Realme UI 7.0 Kemas kini 3+4 tahun |
| Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan Mei 2026 |
| RM 2,499 (8/256GB) | RM 1999 (8/256GB) RM 2299 (8/512GB) | RM 1999 (12/256GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Oppo A7 Pro Max.
- 1 x Kepala Pengecas 80W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pin SIM.
Kesimpulan
Dengan kedatangan beberapa peranti dengan kapasiti bateri yang gergasi ini, Oppo A7 Pro Max ini tidaklah terlalu menyerlah dan tidak tenggelam, ia hanya berada di tahap yang sama seperti beberapa pesaing lain. Peranti ini lengkap dengan ciri ketahanan yang baik namun prestasinya cukup untuk penggunaan yang tidak terlalu berat. Sistem kamera juga berada hanya tidak terlalu istimewa selain lensa swafoto ultra-lebar itu.

Oppo A7 Pro Max ini dijual pada tanda harga RM2299 untuk 8GB+256GB yang bagi saya agak tinggi untuk peranti dengan cip kelas permulaan ini. Jika anda lebih sukakan ColorOS yang kelihatan lebih stabil berbanding pesaing lain, peranti inilah pilihan yang baik. Namun terdapat beberapa lagi pesaing lain yang menawarkan bateri gergasi pada harga yang lebih rendah.
Kelebihan
- Rekaan Menarik & Tahan Lasak
- Paparan berkualiti dan cantik
- Bateri dengan ketahanan yang baik.
- Dilengkapi dengan penarafan IP69K.
- Perisian ColorOS 16 yang lancar.
Kekurangan
- Prestasi sekadar cukup makan.
- Kualiti gambar mod malam kurang memuaskan.
- Tiada lensa ultra-lebar.
- Harga jualan agak tinggi.
- Tiada maklumat tempoh sokongan kemas kini.
