Enam Cip Semikonduktor Buatan Tempatan Diperkenalkan Di AiSEM 2026
Nazrin
Acara AiSEM 2026 berlangsung pada minggu lepas memperlihatkan pembangunan syarikat-syarikat tempatan dan global dalam sektor perisian, kecerdasan buatan, robotik, aeronautik, cip semikonduktor dan sebagainya, dan salah satu pengumuman terbesar hadir berkaitan pengenalan enam cip semikonduktor yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat tempatan.

Cip-cip semikonduktor ini dibangunkan di Malaysia Semiconductor IC Design Park dan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari dan juga Menteri Ekonomi YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir di acara tersebut.
Cip-cip tersebut dibangunkan oleh SkyeChip, MaiStorage, Silicon X, Alphaswift Industries, Infinecs Systems dan Weeroc Space yang merangkumi cip field-programmable gate array (FPGA) pertama yang dibangunkan secara tempatan di Malaysia. Ia menyasarkan aplikasi dalam bidang kecerdasan buatan, automotif, pusat data, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan teknologi angkasa lepas.

Enam cip semikonduktor yang diperkenalkan termasuklah:
- SkyeChip – Mereka membangunkan cip MARS1000, iaitu pemproses AI edge 7nm yang boleh menghasilkan inferens AI melalui peranti setempat, dan bukannya di awan. Ini memastikan data syarikat kekal di lokasi peranti, disamping memberikan respons yang pantas. Ia sesuai digunakan untuk aplikasi masa nyata seperti robotik berautonomi, pertanian pintar, analisa video secara pintar, dan sistem pendidikan berasaskan AI. SkyeChip diasaskan pada tahun 2019 oleh tokoh-tokoh berpengalaman dalam industri daripada Intel, Altera, dan Broadcom, serta memegang 113 paten di Malaysia, Amerika Syarikat, dan China.
- MaiStorage – MaiStorage telah membangunkan cip aiDAPTIV+ yang menggabungkan storan SSD berkapasiti dan berprestasi tinggi dengan perisian pengawal memori untuk membolehkan komponen GPU, memori dan cache bekerjasama untuk mempercepatkan penghantaran data dari satu sistem ke sistem yang lain dengan lebih cepat. Cip ini membolehkan syarikat untuk menggunakan model bahasaraya AI dengan penggunaan GPU minima, dan membolehkan mereka menyimpan data sulit secara setempat tanpa perlu bergantung kepada sistem awanan.
- Silicon X – Silicon X telah membina cip FPGA pertama di Malaysia dan Asia Tenggara. Cip FPGA merupakan sebuah cip yang boleh diprogramkan semula walaupun selepas ia telah dihasilkan. Cip tersebut mengandungi 30 ribu elemen logik yang dimuatkan dalam rekaan 14nm, dan akan dimanfaatkan dalam pelbagai jenis sistem dan industri, termasuklah telekomunikasi, AI, perubatan dan aeroangkasa.
- AlphaSwift Industries – AlphaSwift Industries membina FC Mini, sebuah sistem pengawal penerbangan padat yang berfungsi sebagai otak penerbangan sebuah dron. Ia mampu menguruskan kawalan penerbangan, pemprosesan penderia masa nyata, misi autonomi dan hadir dengan fungsi keselamatan terbina. Peranti ini menggabungkan dua unit IMU, penderia tekanan, dan keupayaan merekod data penerbangan ke dalam kad microSD. Ia juga menyokong penggunaan bateri LiPo 2S hingga 8S, serta serasi dengan perisian penerbangan popular seperti Betaflight, iNav, dan ArduPilot. AlphaSwift Industries secara lazimnya membina dron untuk tujuan agrikultur, logistik dan tindak balas kecermasan.
- Infinecs Systems – Mereka telah membangunkan Maxwell, sebuah pengatur voltan rendah (LDO) gred automotif yang boleh menerima input sehingga 40V dan menghasilkan output stabil 3.3V atau 5V dengan arus sehingga 150mA. Ini membolehkan komponen tersebut membekalkan kuasa yang stabil kepada perkakasan elektronik dalam kenderaan seperti skrin sistem hiburan maklumat dan lampu hadapan. Perlindungan terbina terhadap voltan rendah, litar pintas, dan pemanasan melampau membolehkannya beroperasi dalam julat suhu -40°C hingga 125°C. Ini membuatkannya sesuai digunakan untuk peralatan telekomunikasi, sistem pengurusan bateri, dan pemacu motor.
- Weeroc Space – Walaupun Weeroc Space merupakan sebuah syarikat Eropah, mereka melarikan pusat rekaan dan penyelidikan mereka di IC Design Park di Puchong. Mereka telah membina Conan, sebuah cip pengawal kuasa untuk penukaran kuasa berasaskan galium nitrida (GaN) yang cekap untuk sistem satelit dan angkasa yang lain. Ia sebuah litar bersepadu (IC) yang tahan sinaran radiasi untuk pengagihan kuasa dalam satelit dan kapal angkasa. Cip ini dilengkapi perlindungan terhadap arus berlebihan, kejatuhan voltan, dan pemanasan melampau, Ia juga mengandungi mekanisme keselamatan redundan; pemantauan voltan, arus, dan suhu secara masa nyata.
Pembangunan cip-cip semikonduktor tempatan ini sedikit sebanyak memperlihatkan kebolehan rakyat Malaysia dan syarikat-syarikat tempatan untuk menghasilkan komponen-komponen yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai jenis syarikat teknologi dan sektor di seluruh dunia.
Kedua-dua Semiconductor IC Design Park yang terletak di Puchong dan Cyberjaya kini merumahkan 20 syarikat dan lebih dari 400 jurutera, dan membekalkan mereka dengan bakat, peralatan dan hubungan untuk mendapatkan pembiayaan, dan akses pasaran yang diperlukan untuk berkembang.
Malaysia Semiconductor IC Park juga merumahkan Advanced Chip Testing Centre and the Advanced
Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang telah melatih 850 jurutera dengan kadar penempatan 100 peratus dan syarikat-syarikat di IC Design Park.
Mereka juga mempunyai akses kepada alatan automasi reka bentuk elektronik (EDA) daripada Cadence, Synopsys, Siemens EDA, serta Keysight. Secara kolektif, perkara ini boleh memperkukuh keupayaan reka bentuk peringkat awal (front-end design) Malaysia, di samping asas pembuatan sedia ada negara.