Tiket Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Bermula RM60 Sehala
Effi Saharudin
Hara tiket untuk perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diumumkan oleh Malaysia Rail Link (MRL) hari ini dengan perjalanan sehala hujung-ke-hujung dari Gombak-Selangor ke Kota Bharu-Kelantan adalah bermula RM125 bagi kelas ekonomi. Selain itu turut diumumkan juga tambang untuk beberapa destinasi lain seperti KotaSAS, Pahang dan Kuala Terengganu.
| Transit | Ekspres | |
| Gombak ke KotaSAS, Pahang | RM60 | RM68 |
| Gombak ke Kuala Terengganu | RM 95 | RM110 |
| Gombak ke Kota Bharu, Kelantan | RM 125 | RM147 |
Untuk peringkat awal ECRL menawarkan sekitar 2.2 juta tempat duduk akan disediakan bagi sepanjang tahun 2027 bersama 12 perjalanan setiap hari untuk Isnin hingga Khamis dan 16 perjalanan sehari untuk Jumaat hingga Ahad. Perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu akan mengambil masa 4 jam sahaja apabila menggunakan perkhidmatan ekspres berbanding 6.5 jam menggunakan kereta sekarang.

ECRL turut akan memberikan diskaun 50% tiket kelas ekonomi buat kanak-kanak berusia 2-12 tahun, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pesara kerajaan.
Turut ditawarkan ialah potongan 40% buat pelajar berusia 13 tahun hingga 24 tahun. Perkhidmatan ECRL dijadualkan memulakan operasi pada Januari 2027 sebagai satu lagi sistem pengangkutan awam untuk penduduk pantai timur khususnya ketika cuti perayaan yang terkenal dengan reputasi perjalanan mencecah lebih 12 jam disebabkan oleh kesesakan lalulintas.