Razer Barracuda V2 Pro Kini Ditawarkan Pada Harga RM969
Razer, jenama perkakasan gaming terkemuka baru-baru ini telah memperkenalkan fon kepala gaming nirwayar premium terbaru mereka, iaitu Razer Barracuda V2 Pro untuk pasaran tempatan. Jika anda mahukan sebuah fon kepala gaming nirwayar yang tampil dengan kualiti pendengaran audio yang terbaik untuk gaming dan lain-lain, mungkin ini adalah fon kepala untuk anda.

Razer Barracuda V2 Pro tampil dengan pelbagai kemampuan premium, seperti sokongan olahan audio 7.1.4 secara maya, menggunakan pemandu Razer TriForce Bio-Cellulose bersaiz 40mm. Gabungan komponen ini, bersama-sama rekaan fon kepala membolehkannya menawarkan ciri-ciri seperti pembatalan bunyi hingar aktif hibrid dan juga teknologi olahan audio THX Spatial Audio+ pada platform komputer.

Fon kepala ini juga menyokong teknologi HyperSpeed Wireless dan Bluetooth 2.4 GHz untuk memberi pengguna pilihan sambungan audio nirwayar yang mudah (Bluetooth) yang disokong pada pelbagai jenis peranti, ataupun sambungan yang mengurangkan masa pendam antara peranti dan perkakasan.

Dalam pada itu, fon kepala Barracuda V2 Pro ini juga hadir dengan rekaan 285g yang cukup ringan sekali, dan merumahkan bateri yang membolehkan pengguna untuk menggunakannya secara nirwayar sehingga 70 jam dengan satu pengecasan sahaja.
Dari segi sokongan peranti, Razer Barracuda V2 Pro ini hadir dengan sokongan untuk PC, konsol-konsol permainan Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X/S/One dan peranti-peranti pintar. Fon kepala ini kini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM969.
Sumber: Razer