Ulasan DJI Mic Mini 2S – Kecil, Hebat, Profesional
DJI sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap kualiti audio dengan memperkenalkan Mic Mini 2S. Ia bukan sekadar tambahan kecil tetapi peningkatan menyeluruh yang memberi nilai kepada pengguna. Sebagai pengguna Mic Mini 2, saya dapat melihat dengan jelas hala tuju yang dibawa oleh DJI melalui pelancaran Mic Mini 2S ini.

Model baharu ini bukan sahaja meningkatkan aspek teknikal malah turut menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih lancar. Malahan, ia muncul sebagai jawapan kepada keperluan sebenar pengguna yang mahukan audio berkualiti tinggi tanpa mengorbankan kemudahan.
Spesifikasi
| DJI Mic Mini 2S | |
| Jenis | Mikrofon mudah alih |
| Set | 2 Pemancar DMMT03 1 Penerima DMMR03 1 Kotak pengecas DMMC03 |
| Storan Terbina | 14.5 GB, 24-bit/32-bit float |
| Jarak operasi | 400 meter |
| Bateri | 124 mAh – Pemancar (11 jam) 185 mAh – Penerima (10 jam) 1950 mAh – Kotak pengecas (40 jam) |
| Berat | 12g – Pemancar 19g – Penerima 160g – Kotak pengecas |
| Harga | Bermula RM419 |
Reka Bentuk Dan Bahan
Mic Mini 2S masih mengekalkan identiti sama seperti Mic Mini 2. Kotaknya bukan sekadar tempat simpanan tetapi juga berfungsi sebagai pengecas mudah alih. Apabila dibuka, susunannya hampir sama dengan versi sebelumnya. Di dalam bekas terdapat set lengkap dengan dua pemancar dan satu penerima yang tersusun kemas yang memudahkan pengguna terus bersedia merakam audio berkualiti tinggi tanpa sebarang kerumitan.

Selain itu, DJI turut menyertakan beberapa aksesori tambahan untuk memudahkan penggunaan harian. Antaranya ialah klip magnet yang membolehkan mikrofon dipasang pada pakaian tanpa mengganggu penampilan serta penutup hadapan dengan lapan pilihan warna yang boleh ditukar mengikut cita rasa. Untuk rakaman luar, ada pelindung angin untuk kurangkan bunyi gangguan. DJI juga sertakan kabel audio 3.5mm TRS dan penyesuai USB-C supaya mudah sambung terus ke kamera atau telefon pintar.

Secara peribadi, saya rasa Mic Mini 2S masih mengekalkan identiti sama seperti model sebelum ini. Pengepitnya masih mudah digunakan. Penutup hadapan boleh ditanggalkan dan ditukar dengan lapan pilihan warna. Klip juga boleh ditanggalkan sepenuhnya lalu dipasang semula di bahagian atas menggunakan magnet untuk lebih bebas. Senang kata, hampir tiada perbezaan besar dengan Mic Mini 2. Hal ini menunjukkan Mic Mini 2S tetap praktikal dan mudah digunakan setiap hari.

Saya perasan satu kelemahan pada Mic Mini 2S, iaitu penutup bermagnetnya terasa kurang meyakinkan kerana menggunakan plastik berkilat. Apabila dipegang, ia ringan dan terasa agak plastik berbanding Mic Mini 2 yang hadir dengan kemasan pusam lebih kukuh. Hal ini agak janggal kerana Mic Mini 2S dijual pada harga lebih tinggi tetapi dari segi rasa bahan ia tidak memberikan kesan premium seperti model sebelumnya. Oleh itu, bagi pengguna yang mementingkan kualiti binaan dan rasa premium, Mic Mini 2 mungkin lebih memuaskan.
Kawalan Dan Aplikasi Sambungan
Mic Mini 2S memang mudah digunakan kerana konsepnya plug and play. Cukup sambungkan penerima dan ia terus berfungsi tanpa perlu tetapan panjang, sesuai untuk kegunaan harian yang ringkas. Jika mahukan kawalan penuh, aplikasi DJI Mimo diperlukan kerana ia menawarkan fungsi tambahan seperti pembatalan hingar dan tetapan rakaman yang lebih mendalam. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store sekaligus mudah diakses oleh semua pengguna.

Pemancar DJI Mic Mini 2S direka dengan kawalan ringkas melalui dua butang sahaja. Butang besar berwarna merah berfungsi untuk kuasa dan rakaman, manakala butang kecil digunakan untuk sambungan. Tekan sekali butang besar untuk memulakan rakaman dalaman, dengan getaran sebagai tanda. Tekan sekali lagi untuk berhenti, dan tekan lama untuk mematikan. Jika ditekan lama, ia akan masuk ke mod pairing. Dalam mod ini, mikrofon boleh disambungkan ke telefon melalui Bluetooth (lampu biru) atau menggunakan dongle 2.4GHz (lampu hijau)
Pengalaman Penggunaan
Mic Mini 2 memang tidak menyertakan rakaman dalaman, dan itu menjadi kelemahan besar kerana audio boleh hilang sepenuhnya jika sambungan tanpa wayar terputus. Kehilangan rakaman sebegitu sukar diganti terutama ketika merakam kandungan penting.

Mic Mini 2S hadir sebagai penyelesaian kepada kelemahan versi sebelumnya dengan menyediakan memori dalaman sebesar 14.5GB pada setiap pemancar serta rakaman dalam format 32-bit float. Ciri ini memastikan rakaman kekal selamat walaupun sambungan terganggu. Malah, apabila penerima dimatikan, audio tetap tersimpan di dalam pemancar. Hal ini menjadikan Mic Mini 2S satu peningkatan nyata dari segi keselamatan rakaman dan jaminan prestasi, terutama bagi pengguna yang tidak mahu mengambil risiko kehilangan audio penting.
Format 32-bit float ini bukan sekadar tambahan biasa. Untuk memahaminya dengan mudah, ia boleh diibaratkan seperti fotografi dalam format RAW berbanding JPEG. Rakaman dalam format RAW memberikan lebih banyak ruang untuk proses suntingan tanpa kehilangan butiran. Begitu juga dengan audio dalam 32-bit float yang memastikan hasil rakaman lebih terjamin dari segi kualiti serta memberikan kebebasan semasa penyuntingan.

Dengan rakaman biasa seperti 16-bit atau 24-bit, suara perlahan akan menghasilkan bunyi berdesis apabila aras bunyi ditingkatkan, manakala suara terlalu kuat pula mudah pecah. Sebaliknya, format 32-bit float menyimpan lebih banyak data yang membolehkan audio dipulihkan semasa proses suntingan. Walaupun berlaku pemotongan bunyi, format ini masih mampu menyelamatkan rakaman dan mengekalkan kualiti keseluruhan.
Setiap pemancar turut membolehkan pengguna memilih rakaman dalam format 24-bit atau 32-bit float. Berdasarkan pengalaman peribadi, format 32-bit float lebih berkesan apabila digabungkan dengan fungsi Low Cut Filter. Ciri ini memberikan ruang yang lebih selamat untuk menangkap bunyi perlahan dan bunyi kuat, khususnya ketika berdepan suara yang nyaring.

DJI Mic Mini 2S hadir dengan peningkatan besar kerana penerimanya menyokong sehingga empat pemancar serentak. Ciri ini amat berguna untuk rakaman melibatkan ramai individu seperti temu bual atau podsiar. Setiap pemancar menghasilkan jalur audio berasingan yang membolehkan proses suntingan dilakukan dengan kawalan penuh. Suara boleh diasingkan atau disesuaikan mengikut keperluan tanpa menjejaskan suara lain. Tidak seperti sistem rakaman yang hanya menghasilkan satu jalur bercampur, keupayaan ini memastikan masalah seperti suara bertindih, perbezaan aras bunyi yang ketara, serta gangguan bunyi latar dapat dihindari.

Selain pilihan rakaman 24-bit atau 32-bit float, DJI Mic Mini 2S turut menawarkan mod Stereo dan Mono Channel. Dalam Stereo Mode, rakaman dihasilkan dalam dua saluran berasingan (kiri dan kanan), sesuai untuk menangkap dua sumber berbeza secara serentak. Namun, kelemahannya ialah tiada rakaman sandaran (safety track). Jika suara tiba-tiba terlalu kuat sehingga pecah, tiada saluran dengan aras lebih rendah untuk menyelamatkan audio. Walaupun fungsi penapis hingar boleh diaktifkan, jika audio sudah pecah ia tetap sukar dipulihkan.

Mic Mini 2S menarik kerana boleh digunakan terus tanpa penerima tambahan melalui sambungan Bluetooth ke telefon atau kamera, menjadikan persediaan lebih ringkas dan sesuai untuk rakaman pantas di lokasi. Namun, teknologi penapis hingar berasaskan AI bukanlah penyelesaian mutlak kerana ia hanya membantu mengurangkan gangguan tetapi dalam persekitaran yang sangat bising bunyi sekeliling tetap akan dirakam. Fungsi ini lebih kepada sokongan tambahan dan bukan jaminan rakaman bebas hingar, jadi kawalan asas seperti aras rakaman masih perlu dijaga untuk hasil terbaik.

Mic Mini 2S turut boleh dipadankan terus dengan DJI Osmo Pocket 4 dan menyokong dua pemancar serentak yang menjadikannya sesuai untuk rakaman dua orang tanpa penerima tambahan. Bagi kamera lain atau telefon, audio boleh dihantar melalui Bluetooth yang memberikan lebih kebebasan kepada pengguna. Ia turut dilengkapi dengan fungsi rakaman dalaman sebagai sandaran, menyimpan fail dalam memori terbina supaya rakaman kekal selamat jika sambungan terganggu. Namun, rakaman dalaman tidak boleh diakses melalui Bluetooth dan perlu dipindahkan menggunakan kabel USB-C atau aplikasi rasmi DJI.
Ramai mungkin keliru dengan istilah rakaman dalaman kerana ada yang menyangka mikrofon merakam dua saluran pada setiap masa. Sebenarnya tidak. Dua rakaman hanya berlaku apabila fungsi rakaman dalaman diaktifkan melalui aplikasi DJI dan disambungkan ke kamera atau telefon, iaitu satu rakaman terus masuk ke video manakala satu lagi disimpan dalam memori terbina sebagai sandaran. Jika rakaman dalaman dimatikan, hanya rakaman audio langsung berfungsi. Jika mikrofon digunakan secara kendiri tanpa sambungan, hanya rakaman dalaman akan disimpan.

Mic Mini 2S juga dilengkapi dengan fungsi AI Noise Reduction yang hadir dalam dua jenis mod, iaitu Weak Mode, sesuai digunakan di ruang tertutup seperti ketika terdapat bunyi kipas atau penghawa dingin kerana ia menapis gangguan ringan tanpa banyak mengubah suara. Sementara itu, Strong Mode pula lebih sesuai untuk rakaman di luar, contohnya bagi mengurangkan bunyi trafik atau tiupan angin.
Cubaan saya mendapati bahawa apabila fungsi ini diaktifkan, bunyi latar berkurangan dengan ketara, tetapi suara boleh kedengaran sedikit sengau. Untuk hasil suara yang lebih semula jadi, tetapan asas atau Weak Mode lebih sesuai. Kawalan mudah dipantau melalui lampu LED, dengan warna kuning menandakan fungsi aktif, manakala warna hijau menunjukkan ia tidak aktif.
Selain itu, Mic Mini 2S dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan untuk kawalan audio. Salah satunya ialah Low Cut Filter yang boleh menapis frekuensi rendah seperti bunyi angin atau hembusan nafas. Apabila diaktifkan, rakaman kedengaran lebih jelas, tetapi ada kesan sampingan iaitu suara terasa sedikit tertekan. Jika terdapat hembusan kuat, bunyi pecah masih boleh kedengaran. Walaupun bukan penyelesaian sempurna, fungsi ini tetap berguna dalam keadaan tertentu, terutama ketika merakam di luar atau apabila mikrofon digunakan dekat dengan mulut.

Mic Mini 2S turut dilengkapi dengan fungsi Automatic Gain Adjustment yang memastikan rakaman audio sentiasa stabil dengan dua bahagian komponen utama iaitu Anti Pop dan Loudness Equalization.
Anti Pop mudah dibayangkan sebagai keadaan apabila seseorang menyebut huruf P, lalu terhasil bunyi letupan kecil daripada mulut seperti “pop”. Contohnya, ketika menyebut “Papa” atau “Please”, hembusan angin kuat boleh masuk ke mikrofon dan menyebabkan rakaman kedengaran pecah atau kasar. Fungsi Anti Pop ini berperanan melembutkan bunyi tersebut. Oleh itu, walaupun terdapat hembusan kuat ketika menyebut huruf P, rakaman masih kedengaran baik. Seng kata, Anti Pop bertindak sebagai penapis khas untuk mengelakkan bunyi letupan kecil daripada merosakkan rakaman suara.
Bahagian kedua iaitu Loudness Equalization berfungsi sebagai penstabil suara automatik. Contohnya, apabila seseorang bercakap sambil bergerak, suara biasanya kedengaran kuat apabila berada dekat dengan mikrofon dan perlahan apabila berada jauh. Dengan fungsi ini, sistem akan menstabilkan semula paras suara. Jika terlalu kuat, ia akan diturunkan supaya tidak pecah, manakala jika terlalu perlahan, ia akan dinaikkan supaya tidak tenggelam. Hasilnya, rakaman kedengaran seimbang dari awal hingga akhir walaupun penutur sedang bergerak, sekali gus memudahkan proses penyuntingan audio kerana tahap suara telah stabil.

Akhir sekali, Mic Mini 2S turut menawarkan pilihan tonal yang membolehkan pengguna menyesuaikan karakter suara mengikut keperluan rakaman. Terdapat tiga mod utama yang boleh dipilih, iaitu Regular Mode, yang mengekalkan suara dalam bentuk semula jadi menyerupai suara asal penutur, Rich Mode, yang menambah sedikit kedalaman dan bass untuk memberi kesan suara lebih mendalam serta dramatik, dan Bright Mode, yang menekankan frekuensi tinggi untuk menjadikan suara lebih jelas.
Kesemua tetapan tonal ini boleh diubah dengan mudah melalui aplikasi DJI Mimo, sekali gus memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menghasilkan rakaman yang bukan sahaja stabil tetapi mempunyai karakter suara yang lebih profesional.
Kesimpulan
Kesimpulannya, DJI Mic Mini 2S memang terasa seperti naik taraf yang sepatutnya hadir sejak awal untuk siri mini. Rakaman terbina dalam pada peranti sekecil ini bukan sahaja mengejutkan, malah sangat berguna, manakala empat pemancar yang disediakan membantu menjimatkan masa ketika proses suntingan. Saya sendiri kagum bagaimana mikrofon nirwayar yang kecil mampu menghasilkan audio yang begitu baik, lalu menjadikannya pilihan yang praktikal dan berbaloi untuk kegunaan rakaman pelbagai situasi.

Berbaloi atau tidak sebenarnya bergantung pada siapa yang menggunakannya. Bagi pencipta kandungan solo atau kru kecil yang memerlukan rakaman sandaran, Mic Mini 2S ialah pilihan yang masuk akal. Selain itu, jika anda sudah berada dalam ekosistem DJI, ia merupakan pilihan yang praktikal. Namun, sekiranya anda sudah memiliki Mic Mini 2, jarang mengalami masalah sambungan atau hanya merakam seorang pada satu masa, peningkatan ini mungkin tidak begitu diperlukan.
Secara keseluruhan, Mic Mini 2S mengekalkan bentuk ringkas sambil menambah storan dalaman serta menawarkan lebih banyak pilihan rakaman. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding mikrofon lain yang serupa, Mic Mini 2S tetap menyediakan lapisan keselamatan tambahan serta ciri profesional yang menjadikannya berbaloi untuk dipertimbangkan.
Kelebihan:
- Reka bentuk kecil, mudah dibawa.
- Rakaman terbina elak kehilangan data.
- Pembatalan bunyi AI berkesan tanpa ganggu suara.
- Pilihan sambungan yang pelbagai.
Kekurangan:
- Harga hampir dua kali ganda berbanding Mic Mini 2.
- Kawalan mikrofon agak rumit untuk pengguna baharu.
- Tiada sokongan bicu audio untuk mikrofon klip.
