Pelanggan Spotify Family Kini Perlu Mengesahkan Mereka Tinggal Serumah
Effi Saharudin
Pelan Spotify Family membolehkan satu akaun dikongsi oleh empat pengguna yang merupakan ahli keluarga. Tetapi ia kerap digunakan oleh rakan sepejabat atau dijual menerusi forum untuk mengurangkan kos bayaran bulanan berbanding akaun individu. Spotify kini mula meminta pengguna Spotify Family mengesahkan mereka tinggal serumah.

Pemegang akaun utama akan diberikan kod QR yang perlu di imbas oleh peranti tiga lagi pengguna di bawah satu pelan. Kod akan sentiasa berubah menyukarkan pengguna memintas proses pengesahan menggunakan tangkapan skrin. Sebelum ini Spotify tidak menguatkuasakan keperluan untuk pengguna Family tinggal serumah.
Apabila kod pengesahan muncul pada peranti, semua ahli sesebuah Spotify Family perlu mengesahkannya dalam tempoh 7 hari. Sekiranya gagal ciri tidak lagi boleh diakses dan mereka dihalang menyertai kumpulan Family lain selama 12 bulan. Untuk terus menggunakan ciri premium Spotify, mereka perlu melakukan langganan secara individu.
Langkah yang diambil mereka ini adalah sama seperti dilakukan oleh Netflix dan Disney+ yang juga boleh mengesan apabila profil tambahan di bawah satu akaun diakses daripada alamat IP berbeza.
Sumber – Reddit