Robot Penghantaran Barang Zelos Kini Diuji Di Jalan Raya Cyberjaya – Guna Nombor Plat ROBOVAN-01
Ikhwan Nazri
Awal tahun ini syarikat Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama Pos Malaysia telah memulakan penggunaan robot penghantaran Zelos, yang mampu menghantarkan barangan secara pukal, dan bersaiz besar, namun digunakan di kawasan terhad iaitu di Pusat Mel Nasional. Hari ini mereka mengumumkan robot Zelos akan digunakan di jalan raya sekitar Cyberjaya, menandakan kemasukan robot penghantaran ini ke jalan awam.

Robot penghantaran dengan Swapandu Tahap 4 ini mempunyai jarak operasi sejauh 210km dengan bateri yang boleh menyokong pengecasan DC sepantas 3 jam, atau pengecasan AC sekitar 5-7 jam. Ia mampu membawa muatan sehingga 1500kg dengan ruang seluas 10m persegi, dengan kelajuan maksimum 55 km/j.

Bergerak kehadapan, robot penghantaran Zelos ini akan beroperasi di sekitar 22km jalan raya yang dicipta khas sebagai jalan percubaan untuk kenderaan swapandu di Cyberjaya. Dalam 6 bulan tempoh percubaan ini, robot tersebut akan mengumpul data yang diperlukan sebelum operasinya diperluas ke kawasan lain. Malah nombor pendaftaran yang digunakan – ROBOVAN-1 merupakan nombor pendaftaran yang sah digunakan setelah menerima pengesahan dari Kementerian Pengangkutan, JPJ, SPAD, Kementerian Digital dan juga Futurise.
Dengan pengumuman ini kita akan dapat melihat ROBOVAN ini akan beroperasi di Cyberjaya dalam memudahkan penghantaran barang pukal diantara stor, hab penghantaran, kawasan perindustrian dan bermacam lagi.
