Butiran Cip Steam Deck 2 “Gainsborough” Tertiris Melalui Skor Penanda Aras
Nazrin
Berita mengenai pembangunan konsol permainan mudah-alih generasi kedua Valve, iaitu Steam Deck 2 nampaknya semakin hangat. Terkini, ia dilaporkan bahawa butiran untuk cip yang akan digunakan untuk menguasakannya yang hadir dengan kod nama “Gainsborough” telah tertiris ke arena internet melalui laman penanda-aras OpenBenchmarking.

Cip ini dijangka akan hadir dengan gabungan cip AMD Ryzen ZEN 6 dan juga AMD Radeon RDNA 5 yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan. Tetapi apa yang menariknya ialah binaan awal ini telah memperlihatkan jumlah teras dalam cip, iaitu enam teras fizikal dan 12 bebenang kuasa dengan kelajuan pemprosesan asas 2.4GHz.
Selain daripada itu, sistem yang diuji dilihat menggunakan sebanyak 24GB memori LPDDR5 dengan kelajuan 9600MT/s. Butiran ini memperlihatkan angka teras dan juga memori dan jumlah kelajuan yang lebih pantas berbanding apa yang ditawarkan pada cip pemprosesan “Aerith” yang digunakan bersama konsol Steam Deck pertama.

Cip ini memperlihatkan skor awal 3508 mata bersama penanda-aras Furmark apabila diuji pada resolusi 1024×768, dan ujian ini mungkin dilihat sebagai cubaan awal untuk melihat sama ada komponen-komponen ini berfungsi dan boleh dioptimasikan prestasinya sebagai cip ujian.
Ia dijangka bahawa platform cip pemprosesan dan grafik AMD ZEN 6 dan AMD RDNA 5 hanya akan diperkenalkan atau dilancarkan bermula pertengahan tahun 2027, jadi jangkaannya ialah Valve hanya akan membuat pengumuman lanjut mengenai pelancaran Steam Deck 2 sekitar tempoh masa yang sama, jika tidak kemudian.
Sumber: OpenBenchmarking