UMPSA, Move Robotic Dan PIX Moving Bersetuju Untuk Membangunkan Ekosistem Mobiliti Pintar Di Malaysia
Nazrin
Di acara Paris Expo Porte de Versailles, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menandatangani memorandum persetujuan bersama-sama syarikat robotik tempatan Move Robotic dan syarikat platform mobiliti pintar PIX Moving dari China untuk membangunkan dan menguji ekosistem mobiliti pintar di Malaysia.
Kerjasama ini menghubungkan kepakaran penyelidikan UMPSA, keupayaan pelaksanaan industri Move Robotic serta platform dan pengetahuan teknikal PIX Moving dalam mobiliti autonomi. Tumpuan diberikan kepada penyesuaian teknologi terhadap keadaan jalan raya, corak pemanduan dan keperluan operasi di Malaysia.

UMPSA pula akan bertanggungjawab untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperbaiki dan menambah-baik algoritma pergerakan autonomi untuk memastikan bahawa platform robotik autonomi PIX Moving lebih sesuai dengan corak pemanduan kenderaan dan interaksi dengan persekitaran jalan raya tempatan.
Pasukan penyelidikan UMPSA akan terdiri daripada penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dan
Pembuatan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif serta Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC). PIX Moving akan membekalkan platform bas swapandu RoboBus yang telah terbukti dalam pelaksanaannya, berserta pengetahuan teknikal dan pengalaman dari segi operasi.

Dalam pada itu, Move Robotic pula akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem RoboBus untuk mempercepatkan pembelajaran daripada aplikasi komersial sistem RoboBus tersebut. Pengalaman tersebut dijangka akan membantu mengenalpasti keperluan pengguna, cabaran pelaksanaan dan penambahbaikan yang diperlukan untuk menyokong penggunaan mobiliti pintar di masa hadapan.
Mereka juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia untuk memberi input berdasarkan pengalaman operasi yang membantu dalam pembangunan garis panduan penggunaan teknologi tersebut.

UMPSA dan Move Robotic juga akan merangka strategi kedaulatan data untuk menyokong pengurusan dan penggunaan data projek, selari dengan kepentingan negara. Data daripada projek-projek sebegini dilihat boleh membantu syarikat-syarikat pengautomasian pengangkutan ataupun robotik untuk membangunkan keupayaan algoritma dan pengetahuan tempatan kelak.
Kerjasama diantara ketiga-tiga syarikat ini akan menyediakan ruang untuk menghubungkan penyelidikan universiti, pengalaman aplikasi industri tempatan dan kepakaran penyedia teknologi untuk memperkukuh ekosistem mobiliti pintar tempatan.