Synology Bersiapsiaga Untuk Masa Hadapan Dengan Fokus Terhadap Keselamatan Dan Kecerdasan Buatan
Nazrin
Keperluan untuk storan digital dilihat semakin penting dari hari ke hari, khususnya sekarang apabila teknologi kecerdasan buatan semakin banyak dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat tanpa mengira saiz. Synology, jenama kelengkapan dan perkhidmatan storan digital terkemuka baru sahaja mengadakan acara media tahunan mereka dimana mereka memperlihatkan hala tuju syarikat untuk menyiapsiagakan syarikat-syarikat tempatan dalam perjalanan mereka menggunakan teknologi tersebut.

Dalam sebuah tinjauan yang dilakukan oleh Synology, 90 peratus daripada syarikat tempatan mengatakan bahawa mereka faham bahawa infrastruktur AI adalah penting untuk mempercekapkan jalan kerja dan juga produktiviti mereka. Penggunaan teknologi tersebut dilihat sangat penting, tetapi juga bagaimana data tersebut disimpan, digunakan dan juga selamat daripada serangan godaman pihak luar dan juga di dalam.
Tetapi dengan kemahuan syarikat-syarikat ini untuk menggunakan teknologi AI untuk mengautomasikan tugasan harian mereka, majoriti daripada mereka yang ditinjau mengatakan mereka risau akan keselamatan data syarikat dan pelanggan apabila menggunakannya. Untuk ini, asas penyimpanan dan keselamatan data diberi keutamaan sebelum mereka boleh menggunakan teknologi tersebut secara lebih meluas.

Untuk ini, Synology mengatakan bahawa mereka memberi fokus terhadap tiga tunjang utama penyimpanan data, termasuklah infrastruktur data, ketahanan dan keselamatan siber dan juga penggunaan kecerdasan buatan di tempat kerja.
Untuk infrastruktur data, Synology sudahpun mempunyai pelbagai perkakasan dan perisian yang boleh membantu dalam penyimpanan data, seperti storan Synology PAS 7700, iaitu storan digital menggunakan komponen SSD sepenuhnya yang menjanjikan akses kepada data syarikat sepantas yang mungkin, tidak kira dimana anda berada. Ia juga sedikit sebanyak membantu dalam memastikan data anda selamat dimana pengguna boleh menyimpan data didalam premis mereka sendiri, mengurangkan kebarangkalian data digodam.
Bercakap mengenai ancaman godaman, perkhidmatan keselamatan Synology ActiveProtect diperkenalkan yang menggabungkan perkhidmatan sandaran, pengurusan data, sokongan data yang tidak boleh diubah dan pengautomasian pengasingan mesin pelayan untuk memelihara data syarikat apabila sistem perniagaan dikompromi.

Synology juga menggabungkan perkakasan keselamatan data mereka seperti Synology ActiveProtect DP5200 dengan sistem operasi ActiveProtect Manager 2.0 yang menyokong pelbagai platform perusahaan IT seperti Nutanix AHV dan Proxmox VE.
Dari segi aspek AI pula, Synology juga telah mengemaskini sejumlah penawaran perisian dan perkakasan mereka untuk membolehkan pelanggan memanfaatkan teknologi tersebut tanpa perlu bergantung kepada infrastruktur awanan awam.

Synology Office Suite menyediakan perisian AI untuk tujuan kolaborasi dalam premis dengan bantuan AI bagi menyemak semula dokumen, mencipta kandungan pembentangan, serta mencari formula untuk dokumen spreadsheet. Synology ChatPlus and Meet pula memperluaskan pengalaman kolaborasi ini kepada pemesejan pasukan dan mesyuarat telesidang.
Dalam aspek keselamatan fizikal, peranti pengawasan Synology DVA7400 menggunakan teknologi AI untuk tujuan pengesanan dan carian, sekali gus membantu pasukan menyiasat insiden dengan lebih cekap. Keupayaan-keupayaan ini membolehkan perniagaan menerapkan AI bagi keperluan operasi tertentu serta menilai nilainya dalam aliran kerja mereka sendiri.