10 Aplikasi Navigasi Alternatif Untuk Waze
Amy Maizuraa
Isu larangan terhadap penggunaan Waze khususnya bagi penjawat awam sejak semalam mencetuskan banyak perbincangan. Arahan ini dikaitkan dengan kebimbangan keselamatan data serta hubungan syarikat pembangun dengan negara tertentu, dan kerana itu ia berkuat kuasa serta-merta. Menariknya, bukan sahaja penjawat awam, malah ada juga pengguna biasa yang dilihat menyokong langkah ini. Sebagai alternatif, beberapa aplikasi lain boleh digunakan, masing-masing dengan kelebihan dan kekurangan:
1) Google Maps
Google Maps mempunyai antaramuka moden yang ringkas. Bar carian memudahkan pengguna mencari destinasi, manakala paparannya boleh dizum dan ditukar antara mod peta standard, satelit serta Street View. Reka bentuknya konsisten di Android, iOS dan web, dalam masa sama turut menawarkan panduan perjalanan masa nyata dengan laluan terbaik berdasarkan trafik semasa, maklumat pengangkutan awam, serta panorama jalan melalui Street View. Aplikasi ini juga boleh diintegrasikan dengan ekosistem Google seperti Gmail, Calendar dan Search.

Meskipun begitu, Google Maps masih mempunyai beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Ketepatan data trafik bergantung pada kawasan. Di bandar besar ia biasanya tepat namun di luar bandar maklumatnya kurang menyeluruh. Aplikasi ini juga tidak menyediakan pengiraan tol secara automatik. Selain itu, laluan khas motosikal di Malaysia tidak dipaparkan dengan jelas.
2) PINTAZ
Pintaz Apps hadir dengan reka bentuk antaramuka yang ringkas dan mudah digunakan. Paparan peta serta arahan jalan ditunjukkan dalam bahasa Melayu dengan sebutan nama jalan menjadikannya mesra untuk pengguna tempatan. Selain itu, aplikasi ini turut memaparkan jumlah tol dan menyediakan pilihan laluan sama ada laluan paling pantas, laluan tanpa tol atau laluan khas untuk motosikal.

Aplikasi ini hadir dengan ciri mesra Muslim seperti paparan waktu solat dan arah kiblat yang jarang ditawarkan oleh aplikasi navigasi lain. Arahan suara dalam bahasa Melayu dengan sebutan nama jalan yang jelas menjadikan pengalaman penggunaan lebih mudah difahami oleh semua.
Selain itu, ia juga menyediakan fungsi laporan komuniti yang membolehkan pengguna berkongsi maklumat secara langsung mengenai sekatan jalan, kemalangan, banjir atau kesesakan trafik. Maklumat tersebut dipaparkan melalui ikon berwarna mengikut kategori, sekali gus membantu pemandu membuat keputusan dengan lebih pantas ketika berada di jalan raya.

Aplikasi ini turut menawarkan fungsi carian sepanjang laluan yang membolehkan pengguna mencari stesen minyak, tempat makan atau parkir tanpa perlu keluar daripada navigasi utama. Maklumat jarak, lokasi dan pilihan Tambah henti membantu merancang perjalanan dengan lebih teratur. Bagi pengguna yang memilih untuk log masuk, lebih banyak ciri tambahan tersedia seperti garaj kereta 3D yang boleh diubah suai mengikut model kereta dan nombor plat, serta perkongsian ke media sosial.
3) GrabMaps
Grab bukan sekadar aplikasi untuk makanan atau perkhidmatan e-hailing. Ia turut menyediakan sistem peta sendiri yang boleh digunakan oleh penghantar dan juga pengguna biasa. Untuk mengaksesnya, pengguna hanya perlu menekan butang More dan memilih Maps.

Ciri yang ditawarkan ialah pilihan mod perjalanan kereta, motosikal atau berjalan kaki lengkap dengan maklumat jarak dan anggaran waktu tiba. Laluan turutboleh terus dihubungkan dengan perkhidmatan Grab untuk membuat tempahan perjalanan atau menyemak kos tambang. Dengan cara ini, pengguna bebas memilih sama ada menggunakan peta sebagai panduan sendiri atau mengintegrasikannya dengan Grab bagi melancarkan urusan perjalanan.
Aplikasi ini turut memaparkan kos tol bagi setiap laluan yang dipilih yang membolehkan pengguna membuat pilihan sama ada menggunakan jalan bertol atau mencari laluan alternatif. Melalui menu Route Preference pula, pengguna boleh menetapkan keutamaan seperti mengelakkan tol, mengelakkan lebuh raya atau memilih jalan utama sebagai laluan pilihan.

Aplikasi ini memaparkan arahan perjalanan yang jelas lengkap dengan jarak dan nama jalan, menjadikannya mudah difahami oleh pengguna. Laluan utama ditandakan dengan warna hijau supaya arah yang betul dapat dikenal pasti dengan cepat. Mercu tanda dan lokasi penting turut ditunjukkan pada peta sebagai rujukan tambahan.
4) HereWeGo
Here WeGo mempunyai reka bentuk yang ringkas dan minimalis, dengan paparan peta yang jelas tanpa terlalu banyak ikon atau gangguan. Warna biru dan hijau kebiruan yang konsisten memberikan suasana moden serta memudahkan pengguna mencari panduan laluan tanpa rasa berserabut. Ia sebenarnya dahulu menggunakan nama HERE Maps, Nokia Maps dan Ovi Maps ketika masih di bawah Nokia sebelum berpindah tangan ke d by Audi, BMW dan Mercedes-Benz.

Aplikasi ini menawarkan panduan perjalanan yang mudah difahami dengan laluan ditandakan menggunakan warna biru terang yang jelas kelihatan. Maklumat penting seperti anggaran waktu tiba, jarak perjalanan dan keadaan trafik dipaparkan secara ringkas di bahagian atas untuk memudahkan pengguna. Susun atur menu tetapan juga teratur dengan pilihan laluan sama ada pantas, pendek atau mengelakkan tol.
Fungsi suis buka dan tutup yang ringkas menjadikannya mesra digunakan oleh semua pengguna. Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan paparan luar talian. Jika tiada sambungan internet, antaramuka akan kekal konsisten namun maklumat trafik masa nyata tidak akan dipaparkan.

Aplikasi ini tidak menyediakan fungsi laporan komuniti seperti yang terdapat pada Waze. Pengguna tidak boleh menghantar laporan tentang kemalangan, sekatan jalan atau kehadiran polis. Dari segi paparan, reka bentuknya kelihatan lebih formal dan kurang mesra untuk kegunaan harian. Maklumat tempat juga agak terhad kerana ikon seperti restoran, stesen minyak atau kedai kecil tidak ditunjukkan sebanyak yang ada dalam Google Map.
5) OsmAnd Maps
OsmAnd Maps ialah aplikasi peta sumber terbuka yang menyokong penggunaan luar talian. Selain fungsi panduan perjalanan asas, ia turut memaparkan maklumat terperinci seperti bangunan, laluan basikal, trek mendaki dan mercu tanda kecil yang jarang ditawarkan oleh aplikasi lain.
Aplikasi ini juga menyediakan analisis laluan yang lengkap termasuk graf naik turun bukit, jumlah pendakian dan penurunan, kelajuan purata serta masa perjalanan. Dari segi penyesuaian, OsmAnd mudah diubah suai kerana pengguna boleh menambah pemalam mengikut keperluan masing-masing.

OsmAnd masih mempunyai beberapa perkara yang wajar diberi perhatian. Paparannya kadangkala kelihatan terlalu padat kerana ikon, peta dan pilihan tetapan yang banyak sehingga boleh mengelirukan pengguna baharu. Antaramuka pula lebih bersifat teknikal, malah aplikasi ini boleh menjadi berat dan lambat apabila terlalu banyak data dimuat turun. OsmAnd juga tidak menyediakan laporan komuniti dan maklumat berkaitan bayaran tol.
6) MAPS.ME
MAPS.ME membolehkan pengguna memuat turun peta mengikut negara kerana tanpa muat turun aplikasi tidak dapat memaparkan jalan raya, mercu tanda atau lokasi dengan jelas. Ia menyokong mod perjalanan seperti kereta, berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam asas. Laluan yang dipaparkan turut menunjukkan jarak, masa perjalanan serta pilihan alternatif.

MAPS.ME turut menyediakan maklumat tambahan seperti lokasi restoran, hotel, stesen minyak, ATM dan laluan mendaki. Ia juga memberi amaran tentang keadaan jalan seperti kamera, bonggol atau lampu isyarat. Sesetengah amaran boleh berfungsi tanpa sambungan internet, manakala maklumat masa nyata seperti lokasi polis atau kamera memerlukan internet.
Namun begitu, ada beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian. Untuk menggunakan aplikasi di Malaysia, pengguna mesti memuat turun peta Malaysia terlebih dahulu. MAPS.ME tidak menyediakan laporan komuniti masa nyata yang boleh memberikan maklumat tentang kemalangan, sekatan atau kehadiran polis. Aplikasi ini bergantung pada jumlah peta yang dimuat turun iaitu semakin banyak peta disimpan, semakin besar saiz aplikasi dan kelajuannya boleh berkurangan.
7) Apple Maps (Khusus pengguna iPhone)
Apple Maps ialah aplikasi peta khas untuk pengguna iPhone dan peranti Apple dengan integrasi penuh bersama Siri dan CarPlay. Paparannya moden dengan grafik kemas serta menyokong pelbagai mod perjalanan seperti kereta, berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam di bandar besar. Ia turut menyediakan maklumat trafik semasa, anggaran masa perjalanan dan cadangan laluan alternatif. Paparan 3D untuk bangunan dan mercu tanda tertentu dalam Apple Maps menjadikan pengalaman navigasi lebih realistik. Fungsi carian pula membolehkan pengguna mendapatkan maklumat tentang restoran, kedai, stesen minyak dan lokasi menarik lain lengkap dengan ulasan serta gambar.

Namun begitu, Apple Maps mempunyai beberapa kekangan yang wajar diberi perhatian. Ia tidak dapat digunakan sepenuhnya tanpa sambungan internet, maka akses luar talian agak terbatas berbanding aplikasi peta lain. Maklumat tambahan seperti lokasi kedai atau perkhidmatan lebih banyak tersedia di bandar besar, manakala liputan di kawasan luar bandar masih belum menyeluruh.
8) AMap Global
AMap Global terkenal dengan paparan lorong 3D, maklumat trafik masa nyata dan sokongan pengangkutan awam di bandar besar. Paparan lorong 3D bersama kiraan lampu isyarat membantu pemandu melihat persimpangan dengan lebih jelas supaya tidak tersalah membelok. Fungsi trafik masa nyata pula menunjukkan keadaan jalan semasa dan mengira anggaran masa tiba yang lebih tepat mengikut situasi sebenar.

AMap Global boleh digunakan di banyak negara, tetapi ciri yang paling lengkap masih tertumpu di bandar besar di China. Di Malaysia, aplikasi ini sesuai untuk panduan jalan asas. Fungsi masa nyata bagi bas atau LRT masih terhad manakala maklumat pengangkutan awam lebih meluas di bandar utama di China. Liputan trafik juga belum setanding beberapa aplikasi peta lain menyebabkan anggaran masa tiba kurang tepat meskipun pengguna masih boleh sampai ke destinasi. Selain itu, aplikasi masih belum mempunyai komuniti pengguna yang aktif, jadi maklumat tambahan seperti keadaan jalan tidak selalu tersedia.
9) TomTom
TomTom mempunyai antaramuka yang ringkas dan bebas iklan. Maklumat trafik masa nyata dikumpulkan daripada kenderaan dan sensor, lalu anggaran masa tiba dapat dibuat dengan lebih relevan. Selain itu, aplikasi ini menyokong Android Auto dan CarPlay untuk paparan lebih jelas bersama maklumat tambahan seperti kelajuan semasa dan had laju jalan. TomTom juga menyediakan amaran berkaitan sekatan jalan, kemalangan dan kelajuan berlebihan.

Di Malaysia, TomTom lebih menekankan panduan pemanduan berbanding pengangkutan awam. Komuniti pengguna masih berkembang, jadi laporan tambahan tentang keadaan jalan belum begitu meluas. Walaupun maklumat lokasi kedai, restoran dan tempat menarik tidak sebanyak aplikasi peta lain, data asas yang disediakan tetap berguna untuk perjalanan harian. Selain itu, TomTom turut memaparkan laluan lebuhraya termasuk tol tetapi nilai bayaran belum ditunjukkan secara terperinci.
10) Yandex Maps
Yandex Maps menawarkan tiga pilihan perjalanan ke destinasi iaitu laluan terbaik yang seimbang dari segi masa dan jarak, laluan pendek yang lebih cepat serta laluan alternatif bergantung pada keadaan trafik. Setiap pilihan disertakan dengan anggaran masa dan jarak manakala fungsi masa berlepas membolehkan pengguna menetapkan waktu bergerak. Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan maklumat tambahan seperti laluan bertol, lokasi parkir, keadaan trafik, panorama jalan serta amaran berkaitan kemalangan.

Di Malaysia, Yandex Maps masih berfungsi dengan baik untuk perjalanan asas. Meskipun trafik dan pengangkutan awam belum selengkap aplikasi peta utama lain, ia masih membantu memberikan gambaran laluan dan keadaan jalan. Maklumat tambahan seperti sekatan jalan atau kemalangan mungkin tidak selalu dikemas kini kerana komuniti pengguna masih dalam proses berkembang.
11) TuJu
TuJu ialah aplikasi rasmi kerajaan Malaysia yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama Prosignal Consortium. Antara ciri utamanya termasuk panduan laluan, anggaran masa perjalanan, akses CCTV secara langsung, pengiraan tol automatik, carian fasiliti di kawasan rehat, laporan trafik semasa serta kemudahan kecemasan.

Tetapi ada kaveat besar jika anda ingin menggunakan tuju walaupun ia disarankan oleh PMX sendiri. Pertama sekali ia mempunyai ciri carian yang paling lema di antara 11 aplikasi dalam senarai ini. Semalam saya ingin ke sekolah tetapi ia tidak ada dalam senarai destinasi. Pagi ini dalam perjalanan ke pejabat ia tidak boleh jumpa Kuala Lumpur. KL pun tidak boleh jumpa apatah lagi Sekolah Rendah Tamil Ulu Bertam Hilir Melaka.
Sebagai kesimpulan, setiap aplikasi peta mempunyai kekuatan tersendiri bergantung kepada cara penggunaan. Ada yang menekankan data rasmi, ada yang lebih sesuai untuk penggunaan luar talian, dan ada pula yang relevan dengan laporan komuniti masa nyata. Namun pada pandangan saya, Google Maps, Pintaz Apps dan GrabMaps paling hampir dengan elemen yang ditawarkan oleh Waze kerana ia menyediakan maklumat trafik semasa serta sokongan komuniti yang menjadikan perjalanan lebih lancar.