Pandang Pertama Apple iPhone Duo – Lipatan Pertama
Effi Saharudin
Peranti lipat pertama Android muncul pada tahun 2019 dengan peminat Apple mendambakan peranti dengan rekaan sama untuk sekian lama. Selepas hampir 7 tahun, akhirnya iPhone Duo dilancarkan September lalu dengan sambutan terhadapnya adalah luar biasa sekali. Sekiranya anda terlepas pesanan awal, peranti ini hanya akan tiba ke tangan di penghujung Januari 2027.
Adakah penantian hampir 7 tahun untuk telefon lipat pertama Apple berbaloi? Apa yang Apple lakukan lebih baik daripada Android dan apa pula yang tidak dilakukan lebih baik daripada Android? Ini pandang pertama saya untuk iPhone Duo selepas 24 jam digunakan.
Spesifikasi
| Apple iPhone Duo | |
|---|---|
| Skrin | Skrin Luar 5.4″ LTPO Super Retina XDR OLED, 120Hz, Dolby Vision, 3000 nit Skrin Dalam 7.6″ LTPO Super Retina XDR OLED, 120Hz, Dolby Vision, 3000 nit |
| Pemproses | Apple A20 Pro |
| Cip | 2 X 4.93 GHz Kuasa Tinggi 4 X 2.64 GHz Kecekapan |
| Cip Grafik | Apple GPU 7 Teras |
| RAM | 12GB RAM |
| Muatan Dalaman | 256/512/1000/2000 GB NVMe |
| Kamera Utama | 48mp f/1.6 OIS, (Sudut Lebar) 48MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) |
| Kamera Swafoto | Luar 12MP f/2.0 Dalam 4MP f/1.8 UDC |
| Bateri | 4,883 mAh Pengecasan berwayar 60W Pengecasan nirwayar MagSafe 25W Pengecasan nirwayar Qi 15W |
| SIM/Telefoni | 2x eSIM 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas jari Touch ID |
| Harga Jualan | RM 9,499 (12/256 GB) RM 10,499 (12/512 GB) RM 12,499 (12/1000 GB) RM 15,499 (12/2000 GB) |
Skrin
Skrin luar sebesar 5.4″ OLED dengan 120Hz dan sokongan Dolby Vision. Saiz yang sama dengan Z Fold8 tetapi sedikit lebih lebar dan sedikit lebih rendah kerana nisbah 1:1.4. Bahagian sisi kanan skrin luar dijadikan kawasan meletakkan taskbar untuk pintasan 4 aplikasi yang paling kerap ingin digunakan. Keseluruhan sisi kanan skrin luar ini telah dikhaskan untuk taskbar membuatkan kawasan untuk paparan aplikasi di skrin luar menjadi sempit.

Lihat sampel di bawah untuk aplikasi Chrome, Instagram, X, Reddit, Apple Music, dan Netflix Sekitar 15% kawasan skrin hanya untuk taskbar yang saya rasakan terbazir apabila membuka Chrome, X, dan Reddit kerana aplikasi belum lagi dibangunkan khusus untuk iPhone Duo. Pada Apple Music, Instagram dan Netfix, ruang sisi kanan kini menempatkan pelbagai menu pintasan.


Pemilik iPhone Duo perlu bersabar selama beberapa bulan sebelum lebih banyak aplikasi direka untuk iPhone Duo. Apple Store telah mula memaparkan lencana khas “Made for iPhone Duo” hari ini memudahkan carian aplikasi yang benar-benar serasi dengan telefon. Di Malaysia aplikasi Grab, Zus dan Astro Radio adalah antara terawal disahkan akan dibina khusus untuk iPhone Duo.
Skrin dalam sebesar 7.6″ OLED dengan 120Hz, Dolby Vision dan nisbah 1:1.4. Permukaan skrin dalam mempunyai lapisan tekstur nano yang tidak berkilat. Menurut Apple ini adalah bagi memberikan kesan tampak kertas sebenar apabila Apple Pencil digunakan. Oh saya terlupa untuk mengatakan Apple Pencil boleh digunakan pada kedua-dua skrin tidak seperti pada Z Fold8 yang langsung tidak menyokong S Pen.

Tekstur ini membutakan kesan lipatan tidak ketara. Semasa keluar kotak kesan lipatan langsung tak nampak. Tetapi selepas 24 jam dengan telefon berpuluh kali dibuka tutup oleh rakan sepejabat, kesan lipat mula kelihatan. Ia tidak begitu ketara jika latar belakang gelap. Maka saya simpulkan lapisan tekstur nano bukan sahaja untuk kesan tampak tetapi untuk mengurangkan pantulan cahaya menunjukkan lipatan.
Tetapi lapisan ini juga membuatkan warna sedikit kurang menyerlah berbanding pada skrin iPhone 18 Pro misalnya. Pada tetapan paling tinggi ia masih lagi cukup terang dan setanding jika dibandingkan dengan skrin Z Fold8 yang juga pada tetapan paling tinggi.
Biometri
Tiada lagi Face ID dengan ia menggunakan Touch ID seperti sebuah iPad. Pengimbas terletak pada bahagian kanan daun pintu kanan skrin. Ia pada lokasi yang mudah diakses dengan nyahkunci dilakukan dengan pantas. Masih tiada sistem imbasan wajah 2D sahaja seperti diberikan pada Apple HomeView atas sebab keperluan keselamatan yang lebih tinggi.

Rekaan
Rekaan memang premium lebih-lebih lagi pada versi warna hitam yang diulas. Bahagian sisinya dibulatkan seperti era iPhone X. Setelah beberapa tahun menyesuaikan diri dengan iPhone dengan sisi rata, terasa agak canggung pada peringkat awal kembali dengan rekaan ini. Tetapi selepas cubaan pertama membuka skrin dilakukan baru saya sedar mengapa sisi bulat dikembalikan.

Jari lebih mudah membuka skrin berbanding sisi rata pada Z Fold8 yang nipis. iPhone Duo adalah sedikit lebih tebal berbanding Z Fold8 untuk mengelakkan isu skrin seakan perlu diumpil dengan kuku sebelum boleh dibuka. Dalam keadaan terbuka iPhone Duo adalah setebal 5.2mm manakala Z Fold8 pula 4.5mm.
IPhone Duo yang sedikit lebih tebal ini bukan isu melainkan jika anda mahu menggunakan kerangka perlindungan. Selepas kerangka dipasang, tubuh menjadi terlalu tebal mengingatkan saya kepada Oppo Find N pertama. Apple memberikan mod mengubah lokasi taskbar sedikit ke kiri apabila kerangka digunakan kerana menyedari ia menghalang akses oleh jari. Oleh sebab itu, iPhone Duo ialah sebilangan kecil telefon yang mungkin saya boleh katakan lebih serasi digunakan tanpa kerangka.

Bonggol belakang menempatkan dua kamera adalah agak besar tetapi masih tidak melampau seperti pada siri iPhone 18 Pro. Kerana ia besar dan rata, peranti masih boleh diletakkan di atas meja dengan agak rata. Kemasan belakang tidak memerangkap kotoran dengan mudah.
Pada daun pintu kanan diletakkan butang kuasa (merangkap pengimbas cap jari) dan butang Camera Control. Butang laras audio pula diletakkan pada bahagian atas daun pintu kanan. Kedudukan yang sangat aneh kerana adalah sukar untuk menekan butang ini dalam mod sebelah tangan.

Nak dikatakan Apple mengambil konfigurasi iPad mini tidak juga kerana pada tablet ini butang kuasa dan laras audio atau adalah sebaris pada sisi kiri. Pada iPad Air pula butang kuasa di sisi kiri dan butang laras audio pula pada bahagian atas kiri. Tiada rekaan yang sekata digunakan di sini yang sangatlah tidak Apple pada pendapat saya. Pada Z Fold8, Find N6 dan Magic V7, butang laras audio dan kuasa diletakkan sebaris pada daun pintu kanan yang jauh lebih mudah diakses.
Kerana terlalu sukar menekan butang, saya membiasakan diri menukar kelantangan audio menerusi Control Centre yang walaupun bukan paling pantas sekurang-kurangnya tidak memerlukan jari melakukan akrobatik seperti Nadia Comăneci.

Rekaan tidak kongruen ini diteruskan pada posisi speaker stereo. Satu di bahagian atas daun pintu kiri dengan 6 lubang. Dua set lubang speaker 4 lubang pula diletakkan di bahagian bawah daun pintu kanan. Sekali lagi sangat tidak Jony Ive untuk menggunakan rekaan yang tidak simetri.
Akibatnya apabila peranti dipegang dalam mod tablet, tangan tak tahu hendak diletak dimana. Telapak tangan akan menutup salah satu daripada dua set speaker yang menembak ke sisi ini. Pada Z Fold8, kedua-dua speaker dengan lohong udara sama saiz diletakkan di bahagian atas dan bawah daun pintu kiri. Rekaan lebih simetri menawarkan audio lebih sekata dan dapat dielakkan isu salah satu speaker ditutup dengan tapak tangan.

Kemudian port pengecasan USB-C pula diletakkan di bawah daun pintu kiri. Mungkin Apple ingin kembali ke era “Think Different” dengan meletakkan USB-C di tempat yang lain berbanding peranti Android (yang semuanya meletakkannya di bahagian bawah daun pintu kanan)
Bagaimana pula dengan talam SIM? iPhone Duo menjadi yang kedua selepas iPhone Air yang ditawarkan tanpa talam SIM fizikal pada semua model. Langkah yang cukup berani kerana Z Fold8 yang lebih nipis masih menawarkan talam SIM fizikal.
Akhir sekali iPhone Duo melepasi piawaian kalis air dan debu IP68 yang meletakkannya setanding dengan Magic V6, Pixel 11 Pro Fold dan Pixel 10 Pro Fold. Peranti lipat lain majoritinya sekadar IP48.
Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi iOS 27 digunakan dan ia sama sahaja dengan yang digunakan pada iPhone biasa cuma dengan beberapa perubahan khusus untuk mod tablet. Sisi kanan sentiasa memaparkan Dock dengan empat aplikasi yang paling kerap digunakan. Aplikasi boleh ditukar tetapi terhad kepada empat sahaja. Lokasi Dock juga tidak boleh diubah. Jika anda seorang kidal, ini akan memberikan sedikit cabaran.

Pertama sekali ia menyokong Split View dengan dua aplikasi boleh dipaparkan serentak. Siapa tahu bagaimana Split View digunakan pada iPhone Duo? Jika jawapan anda “mestilah sama seperti pada iPad” jawapan anda salah sama sekali. Sifar markahu untuk Gryffindor!

Jawapannya ialah tekan ikon aplikasi beberapa saat dan kemudian pilih Split View. Jika satu aplikasi sudah dibuka bagaimana pula untuk melancarkan Split View? Jika anda katakan tekan Home Bar dan kemudian tatal ke atas untuk memaparkan Dock sebelum menarik ikon aplikasi kedua ke skrin anda salah. Ini adalah untuk iPad OS 27 bukan iOS 27.

Di iPhone Duo anda perlu tarik Home Bar ke atas kemudian berhenti. Di kiri dan kanan akan ada dua tingkap Liquid Glass muncul. Tarik aplikasi ke kiri atau ke kanan. Ia kini akan kekal di sektor yang anda pilih. Pada tingkap bersebelahan untuk aplikasi kedua. Kemudian saiz tingkap kiri dan kanan Split View tidak boleh diubah saiznya seperti di iPad. Jika ditarik terlalu ke kiri (atau ke kanan) salah satu aplikasi akan ditutup

Satu lagi perangai aneh Split View pada iOS 27 ialah ia hanya boleh digunakan dalam posisi landskap. Bila telefon dipusingkan ke posisi potret, hanya salah satu aplikasi (yang kali terakhir disentuh) akan dipaparkan dalam saiz besar. Yang ini saya tidak boleh salahkan John Ternus kerana ia juga adalah perkara sama berlaku di iPad. Akhirnya ada satu pe’el yang konsisten pada Split View di iOS 27 dan iPadOS 27!

Saya masih lagi sedang dalam proses mengenal hati budi iOS 27 di iPhone Duo. Pengalaman awal yang saya terangkan di atas memberikan impresi pertama yang kurang memberangsangkan. Saya akui Android di era awal peranti skrin lipat juga mempunyai isu kurang mesra pengguna dan aplikasi tidak konsisten. Ini diselesaikan dengan Android 12L selepas dua tahun. Kita hanya boleh berharap Apple tidak mengambil masa yang lama untuk membaiki isu penggunaan tidak konsisten ini untuk peranti lipat mereka selepas ini.
Ciri lain iOS 27 seperti Liquid Glass, Image Playground, Siri dan bermacam-macam lagi adalah sama sahaja dengan iPhone 18 Pro. Ianya lancar, pantas, responsif dan mudah digunakan. Isunya ialah Apple masih belum benar-benar bersedia menawarkan antaramuka hibrid iPhone dan iPad untuk iPhone Duo pada ketika ini.

PENANDA ARAS
iPhone Duo menggunakan cip Apple A20 Pro yang sama dengan siri iPhone 18 Pro. Berikut ialah perbandingan skor dalam penanda aras cip ini dengan beberapa peranti lipat di pasaran Malaysia sebagai perbandingan.
- Google Pixel 11 Pro Fold – Tensor G6
- Samsung Galaxy Z Fold8 – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Samsung Galaxy Z Flip8 – Exynos 2600
- Honor Magic V6 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Oppo Find N6 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Samsung Galaxy Z Fold7 – Snapdragon 8 Elite for Galaxy
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Apple iPhone 18 Pro – Apple A20 Pro
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Apple iPhone Duo | 3,143,158 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1,212,510 |
| Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra | 2,630,271 |
| Samsung Galaxy Z Fold8 | 2,184,626 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 2,463,934 |
| Honor Magic V6 | 3,439,798 |
| Oppo Find N6 | 3,080,123 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 1,747,012 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3,517,879 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Apple iPhone Duo | 3992 | 11090 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1764 | 4688 |
| Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra | 3295 | 9125 |
| Samsung Galaxy Z Fold8 | 3512 | 9871 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 1923 | 5091 |
| Honor Magic V6 | 3529 | 9938 |
| Oppo Find N6 | 3450 | 9393 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 2745 | 9060 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3999 | 11338 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Apple iPhone Duo | 7118 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 3318 |
| Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra | 5996 |
| Samsung Galaxy Z Fold8 | 5365 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 4099 |
| Honor Magic V6 | 6481 |
| Oppo Find N6 | 6020 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 5633 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Apple iPhone 18 Pro | 7843 |

Saya yang dicatatkan dalam ujian penanda aras mengesahkan status iPhone Duo sebagai peranti lipat paling berkuasa di pasaran sekarang. Perbezaan skor dengan iPhone 18 Pro juga tidak begitu besar jika dibandingkan dengan peranti lipat Android bila dibandingkan dengan telefon candbar dengan cip sama.
Kesimpulan
iPhone Duo ialah peranti yang premium, cantik, dan boleh tak saya katakan seksi berbanding telefon lipat yang lain. Inilah yang diidamkan oleh peminat Apple sejak Z Fold pertama dilancarkan pada tahun 2019. Sebuah peranti lipat dengan selera Apple telah menjadi realiti.
Sebagai peranti generasi pertama saya rasakan tidak mahu terlalu kritikal dengan beberapa kelemahan yang ada. Tetapi pada waktu yang sama Apple diberikan masa 7 tahun untuk melancarkan aplikasi pertama yang sempurna. Kita selalu mendengar frasa “Apple lambat tetapi bila mereka akhirnya keluarkan produk sama, ianya mesti lebih baik berbanding syarikat lain”.

Dalam situasi iPhone Duo frasa ini tidak boleh saya gunakan tanpa hidung memanjang seperti Pinocchio. Majoriti aplikasi belum 100% serasi. Lokasi butang laras audio aneh dan tidak konsisten dengan di iPad. Lokasi da rekaan speaker tidak simetri yang sangatlah tidak Apple Design. Kemudian Split View di iOS 27 juga berbeza dengan iPadOS 27 yang saya telah digunakan sejak sekian lain.
Berita baik di sini ialah iPhone Duo ialah peranti generasi pertama. iPhone dan Apple Watch pertama juga mempunyai pelbagai kekurangan yang kemudiannya diselesaikan. Lebih kerap daripada tidak, Apple akan membaiki kelemahan yang anda.
Pro
- Skrin lipat tidak mempunyai kesan garisan ketara.
- Apple A20 Pro menawarkan prestasi tinggi.
- Dwi-kamera dengan sensor besar
- Rekaan premium yang sedap di dalam tangan.
- Skrin mudah dibuka kerana sisi dibulatkan.
- Bateri besar dengan pengecasan pantas.
- Sokongan perisian jangka panjang yang baik.
Kontra
- Kurang mesra individu kidal.
- Tidak semua aplikasi serasi.
- Kembali ke Touch ID.
- Sistem Split View yang tidak konsisten dengan di iPad mengelirukan.
- Lokasi butang laras audio tidak ergonomik.
- Lokasi speaker tidak simetri nampak canggung.
- Hanya eSIM.