Insta360 Mic Diperkenalkan Dengan Skrin E‑Ink, Rakaman 32‑Bit Float Dan Slot MicroSD
Amy Maizuraa
Insta360 memperkenalkan mikrofon nirwayar baharu melalui Insta360 Mic, yang diposisikan di antara Mic Air dan Mic Pro dalam barisan produk audionya. Antara ciri yang diketengahkan ialah skrin E-Ink yang boleh dipaparkan dengan imej pilihan pengguna, sama ada logo, grafik atau gambar lain.

Ia juga dilengkapi slot microSD yang membolehkan audio dirakam terus pada mikrofon sebagai salinan sandaran. Ini bermakna rakaman masih boleh digunakan sekiranya berlaku gangguan sambungan antara mikrofon dan peranti digunakan ketika sesi rakaman berlangsung. Pada masa yang sama, sokongan rakaman 32-bit float membantu mengurangkan risiko audio pecah apabila suara dirakam terlalu kuat atau terlalu perlahan, manakala AI Noise Canceling pula membantu mengurangkan bunyi persekitaran untuk rakaman suara yang lebih jelas.

Insta360 Mic turut menyokong sehingga empat pemancar pada satu penerima sesuai untuk rakaman podcast, temu bual atau kandungan yang melibatkan beberapa individu serentak. Menariknya, pemancar Insta360 Mic dan Mic Pro juga boleh digunakan bersama pada penerima yang sama. Dari segi ketahanan bateri, setiap pemancar mampu beroperasi sehingga 13 jam manakala bekas pengecas yang disertakan membolehkan jumlah masa penggunaan mencecah 34 jam.

Turut ditawarkan ialah ciri Direct Connect yang membolehkan mikrofon disambungkan terus ke beberapa kamera Insta360 terpilih menerusi Bluetooth tanpa memerlukan penerima tambahan. Buat masa ini, Insta360 belum mendedahkan harga jualan rasmi untuk pasaran Malaysia.