Kereta BYD Diharamkan Daripada Markas Tentera Amerika Di Jepun
Tentera Amerika Syarikat di Jepun mengharamkan kenderaan jenama BYD daripada memasuki kawasan pangkalan udara Kadena atas sebab keselamatan menurut laporan SBS News. Pengharaman dilakukan kerana kereta BYD yang mempunyai kamera, sensor dan sistem digital didakwa mendatangkan risiko keselamatan dan kebocoran maklumat ketenteraan.

Pangkalan udara Kadena ialah antara pangkalan Amerika yang paling penting di rantau Asia Pasifik, menempatkan pelbagai aset strategik termasuk sistem pelancar peluru berpandu, pesawat pejuang dan radar.
Semua jenis kenderaan BYD yang diharamkan adalah termasuk pemilikan persendirian, milik kontraktor, teksi, lori penghantar barangan dan kenderaan komersial seperti bas. Terdapat spekulasi bahawa larangan ini mungkin diperluaskan ke pangkalan tentera Amerika lain di Jepun dan juga di Korea Selatan.
Tindakan mengharamkan jenama kenderaan tertentu sebelum ini telah dilakukan oleh kerajaan China. Beberapa tahun lalu tular kenderaan buatan Tesla diharamkan memasuki kawasan bandar yang sedang dilawati Presiden Xi atas sebab-sebab keselamatan. Anggota pasukan keselamatan pula diharamkan daripada membeli kereta Tesla disebabkan oleh kerisauan melibatkan keselamatan negara.