Siri Huawei Watch 6 Bakal Tiba Ke Malaysia Pada 3 November 2026
Amy Maizuraa
Huawei mula mengacah kehadiran siri Huawei Watch 6 untuk pasaran Malaysia. Jam tangan pintar ini akan hadir dengan beberapa ciri kesihatan baharu termasuk Hypertension Risk Study dan Diabetes Risk Study yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada penawaran kesihatan pada peranti tersebut.

Huawei turut mendakwa Watch 6 sebagai antara jam tangan pintar terawal di Malaysia yang menawarkan kedua-dua fungsi tersebut dalam satu peranti. Namun begitu, Huawei masih belum menjelaskan dengan lebih lanjut bagaimana fungsi Hypertension Risk Study berfungsi dan apakah kaedah yang digunakan untuk menilai risiko kesihatan pengguna.

Selain itu, Huawei mengatakan Watch 6 boleh memberikan gambaran awal mengenai tahap kesihatan pengguna dalam masa sekitar satu minit. Jam tangan pintar ini turut dilengkapi ciri pemantauan kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO₂), kualiti tidur dan aktiviti harian. Bagi mereka yang berminat, Huawei kini telah membuka pendaftaran minat menjelang pelancaran rasmi Watch 6 yang dijadualkan berlangsung pada 3 November 2026.