AMD FSR 4.1 Diperkenalkan Secara Berperingkat Untuk Pemilik ASUS ROG Xbox Ally X Dan X20
Nazrin
Kedua-dua konsol ASUS ROG Xbox Ally X dan Ally X20 dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang merupakan cip pemprosesan khusus untuk konsol-konsol PC mudah-alih, dan memperlihatkan prestasi yang agak baik, tetapi masih lagi sedikit ketinggalan kerana ketiadaan sokongan teknologi baru AMD Radeon seperti Fidelity Super Resolution yang terbaru keluaran syarikat tersebut.
Walaupun cip AMD Ryzen Z2 Extreme sudah lama tidak menerima kemaskini teknologi baru dari segi perisian, ia telah disahkan bahawa konsol-konsol ASUS ROG tersebut sudahpun mula menerima sokongan untuk teknologi AMD Fidelity Super Resolution (FSR) 4.1, yang membolehkan pemilik konsol-konsol ini untuk memainkan permainan komputer pada resolusi, tetapan dan kadar segar semula yang lebih tinggi.

Pemilik konsol-konsol ini boleh memeriksa penerimaan kemaskini ini melalui aplikasi Armory Crate SE, dimana ia dilaporkan juga bahawa ramai pemilik konsol-konsol ini sudahpun menerima kemaskini tersebut. FSR 4.1 tampil khas untuk konsol ASUS ROG Xbox Ally X dan Ally X20 dengan tetapan kuasa yang jauh lebih rendah. Setelah dikemaskini, tetapan untuk mengaktifkan sokongan FSR 4.1 boleh dilihat melalui perisian Armory Crate SE.
Walaupun begitu, pihak ASUS juga memberi amaran bahawa kemaskini ini diperkenalkan melalui pilihan preview update, yang mana ia bukanlah kemaskini “rasmi” buat masa ini. Walaupun begitu, secara teknikalnya kemaskini ini masih boleh dimainkan dengan semua 300+ permainan komputer yang menyokong teknologi FSR 4.0 tanpa begitu banyak masalah.
Sumber: ASUS ROG