Konsol Mudah-Alih Sony Mungkin Satu-Satunya Yang Akan Dilengkapi Cip Grafik RDNA 5
Nazrin
Terdapat pelbagai ura-ura yang mengatakan bahawa Sony kelak mungkin akan memperkenalkan konsol permainan mudah-alih bersama-sama dengan konsol permainan generasi akan datang mereka, Sony PlayStation 6. Ia tidak diketahui sekiranya nama PlayStation Portable akan digunakan kembali, tetapi terdapat ura-ura baru berkenaan komponen yang akan menguasakan konsol tersebut.
Digital Foundry melalui Richard Leadbetter baru-baru ini telah memberi hebahan melalui laporan terbaru mereka dimana konsol permainan mudah-alih Sony akan datang merupakan satu-satunya yang akan hadir dengan cip pemprosesan grafik AMD RDNA 5, ataupun cip grafik generasi akan datang keluaran AMD.

Pada awalnya, ini mungkin dilihat sebagai perjanjian eksklusif diantara AMD dan Sony, tetapi seperti yang dijelaskan oleh Richard Leadbetter, persetujuan ini hanya boleh berlaku kerana untuk AMD, mereka mahukan kepastian daripada klien-klien mereka bahawa mereka akan memesan cip-cip ini dalam jumlah yang besar.
Jadi sekiranya jenama-jenama lain seperti Microsoft, ASUS dan sebagainya yang menggunakan cip pemprosesan AMD mahukan cip grafik RDNA 5 dalam konsol-konsol mereka, syarikat-syarikat ini akan perlu memberi komitmen untuk membeli jumlah cip grafik tersebut yang besar. Tidak dinafikan bahawa konsol Project Helix oleh Microsoft mungkin akan menggunakan cip tersebut, tetapi untuk konsol mudah-alih mereka, ini tidak diketahui lagi.
Ini juga mungkin bermakna bahawa cip AMD Ryzen Z3 Extreme yang mungkin diperkenalkan kelak akan hadir dengan cip “AMD RDNA 4.5”, sama sepertimana AMD Ryzen Z2 Extreme menggunakan cip grafik RDNA 3.5 sekarang.
Sumber: Digital Foundry