Rusia Rancang Bina Pusat Data Bawah Tanah Bagi Mengelakkan Serangan Ukraine
Effi Saharudin
Rusia bercadang membina pusat data di bawah tanah bagi mengelakkan ia menjadi mangsa serangan di masa hadapan. Menurut laporan Kommersant, Kementerian Pembangunan Digital Rusia mencadangkan pusat bawah tanah sebelum berlaku beberapa insiden serangan ke atas pusat data penting negara awal bulan ini oleh Ukraine.
Antara lokasi pusat data bawah tanah boleh dibina ialah di dalam lombong dan kuari yang memberikan perlindungan daripada serangan udara. Cadangan Rusia ini tiba beberapa minggu selepas Jepun juga ingin membina pusat data dalam terowong bawah tanah yang tidak digunakan. Ia akan mengurangkan pencemaran bunyi dan ia masih terlindung sekiranya berlaku bencana alam.

Serangan ke atas pusat data Yandex, Sberbank dan VK ini menyebabkan gangguan ke atas perkhidmatan digital penting di Rusia. Kementerian Pembangunan Digital Rusia menyarankan pusat data diklasifikasikan kepada tiga kategori berbeza.
Kategori tertinggi merangkumi pusat data strategik yang mana kehilangannya boleh mengganggu fungsi-fungsi utama negara selama satu jam atau lebih. Kategori kedua merangkumi pusat data yang menyokong sistem-sistem penting dari segi wilayah atau ekonomi, yang mana gangguan boleh berlanjutan selama empat jam atau lebih.
Manakala kategori terakhir merangkumi pusat data korporat yang mana kerosakannya tidak akan membawa kesan yang lebih luas terhadap negara. Pusat data sedia ada boleh dilindungi dengan menggunakan sistem pertahanan berlapis, struktur diperkuat, sistem anti dron dan sistem peperangan elektronik.
Sumber – Data Center Dynamics