Tentera Amerika Menguji Penghantaran Bantuan Kecemasan Menggunakan Roket
Effi Saharudin
Tentera Amerika Syarikat ingin menggunakan roket sebagai kenderaan pengangkutan logistik yang pantas ke mana-mana titik di permukaan bumi apabila diperlukan. Rocket Lab, Blue Origin, Anduril dan SpaceX ialah antara syarikat yang menerima kontrak membangunkan sistem yang diberi nama Rocket Cargo. Tetapi sebelum penghantaran kargo dilakukan, minggu lalu ujian menghantar bantuan kecemasan telah dilakukan oleh Makmal Kajian Tentera Udara (AFRL).

Ujian dilakukan pada 20 Oktober lalu menggunakan kapsul SpaceX Starfall. Kapsul berbentuk piring ini dilancarkan menerusi misi Bandwagon-5 menggunakan roket Falcon 9. Setibanya ke angkasa lepas, Starfall turun semula ke bumi menggunakan payung terjun. Matlamat ujian ini adalah untuk menilai sama ada roket komersial boleh digunakan untuk menghantar bekalan atau peralatan ke mana-mana lokasi di dunia dalam masa yang sangat singkat.

Starfall dilengkapi sensor suhu, hentakan dan getaran bagi memastikan kesemua parameter dalam lingkungan selamat bagi mengelakkan kerosakan kargo yang dibawa. Starfall membawa alat penjejak berasaskan SATCOM, bateri, ubat-ubatan, peralatan kelangsungan hidup dan sistem penyahgaram air.
Di masa hadapan kesemua bekalan bantuan kecemasan ini boleh dihantar ke mana-mana lokasi dunia bagi tujuan logistik ketenteraan di kawasan konflik, misi menyelamat, bantuan bencana alam, serta tindak balas terhadap ancaman kimia, biologi, radiologi dan nuklear (CBRN). Kemudian di masa hadapan sistem roket yang lebih maju digunakan untuk menghantar kargo sehingga 1000 kilogram.