OnePlus Buds Clip Dilancarkan Dengan Rekaan Subang dan Bateri 40 Jam
OnePlus turut mula menawarkan fon telinga bentuk subang dengan pelancaran OnePlus Buds Clip. Dengan rekaan terbuka, Buds Clips membenarkan pengguna menikmati muzik tetapi masih boleh mendengar bunyi persekitaran yang penting ketika bersenam misalnya.

Setiap subang dilengkapi satu pemandu woofer 11mm dan satu tweeter 9mm yang menerima sentuhan Dynaudio. Tiada sistem pembatalan hingar aktif (ANC) disertakan. Ciri yang ditawarkan ialah pad kawalan sentuhan pada sisi. Buds Clips juga boleh boleh dipakai di mana-mana telinga dengan ia akan secara automatik mengenalpasti ia dipakai di telinga kanan atau kiri.
Terdapat juga sistem amaran jika Buds Clips terjatuh daripada telinga. Selain itu ia turut mempunyai cip AI yang membolehkan ia melakukan proses alih bahasa masa nyata. Sistem audio resolusi tinggi disokong menerusi codec LHDC.

Setiap subang boleh beroperasi sehingga 9.5 jam atau sehingga 40 jam dengan bantuan pod pengecas. Ia turut melepasi piawaian kalis air IP55 yang serasi untuk mereka yang ingin menggunakannya semasa bersenam.
OnePlus Buds Clip ditawarkan dalam warna Pearl White, Pebble Grey dan Twilight Rose tetapi harga jualan belum lagi diumumkan.