WhatsApp Menguji Hab Media Baharu Untuk Pengguna iOS
Amy Maizuraa
WhatsApp dilaporkan sedang menguji ciri baharu yang membolehkan pengguna iPhone melihat semua gambar, video dan pautan yang diterima dalam satu tempat. Dengan cara itu, pengguna tidak lagi perlu membuka setiap perbualan untuk mencari kandungan yang pernah dikongsi. Buat masa ini, ciri tersebut masih dalam peringkat pembangunan dan belum boleh diakses oleh pengguna.

Berbeza dengan fungsi Media, Links & Docs sedia ada yang hanya boleh diakses menerusi setiap perbualan, hab media baharu ini mengumpulkan kandungan daripada pelbagai perbualan dalam satu paparan. Ini memudahkan pengguna menjumpai semula media atau pautan yang diterima tanpa perlu menyemak perbualan satu demi satu. WhatsApp juga dijangka menyediakan pilihan untuk memaparkan kandungan media secara berasingan dengan menawarkan pilihan paparan dalam bentuk senarai atau grid.

Turut disertakan ialah fungsi carian yang membolehkan pengguna mencari kandungan media berdasarkan kapsyen yang disertakan. Pengguna juga boleh berkongsi kandungan ke perbualan lain, menambah reaksi, menyimpan item penting serta membuka terus perbualan asal tempat kandungan tersebut diterima. Buat masa ini, WhatsApp masih belum berkongsi bilakah ciri berkenaan akan diperkenalkan kepada pengguna secara rasmi.
Sumber: WABetaInfo