Kerajaan Akan Menggunakan Starlink, Menara Sel Kecil Untuk Menyelesaikan Isu Ketersambungan Kawasan Pedalaman
Nazrin
Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa capaian sambungan internet untuk kawasan berpenduduk di Malaysia sudah mencapai tahap 99.75 peratus, manakala capaian rangkaian 5G pula meliputi 90 peratus di kawasan yang sama.
Selepas Belanjawan 2027, Kementerian Komunikasi Malaysia telah mengesahkan bahawa RM 5 bilion akan diperuntukkan di bawah program JENDELA untuk menangani isu ketersambungan internet untuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sukar untuk mendapatkan sambungan tersebut.
Secara lazimnya, syarikat-syarikat telekomunkasi tempatan menggunakan pencawang telekomunikasi dan juga kabel gentian optik untuk menyambungkan rakyat dan kawasan-kawasan berpenduduk Malaysia ke rangkaian internet melalui sambungan rangkaian jalur lebar dan juga rangkaian 4G dan 5G. Akan tetapi, terdapat sejumlah kecil rakyat Malaysia yang duduk di kawasan pedalaman yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sambungan internet yang stabil.

Untuk rakyat-rakyat ini, penggunaan sambungan internet satelit seperti CONNECTMENOW oleh Measat dan Starlink telah digunakan, tetapi tidak secara meluas. Dengan pelaburan terbaru ini, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengatakan bahawa sebahagian daripada peruntukan RM 5 bilion tersebut akan digunakan untuk meningkatkan capaian rangkaian internet berkelajuan tinggi di kawasan berpenduduk dari 99 peratus ke 100 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beliau mengatakan bahawa perkhidmatan rangkaian internet satelit seperti Starlink dan pembangunan pencawang sel kecil akan dimanfaatkan untuk kawasan-kawasan tersebut, dan juga kawasan luar bandar seperti perkampungan Felda yang tidak mempunyai capaian khususnya di kawasan-kawasan jalan dalam.
Buat masa ini, butiran bagaimanakah perkhidmatan-perkhidmatan internet ini, seperti penggunaan rangkaian satelit Starlink dan pembangunan pencawang sel kecil akan diagihkan tidak diketahui lagi.
Sumber: The Malay Mail