SK Hynix Menjangkakan Isu Bekalan Memori Akan Berkekalan Sehingga 2030
Nazrin
Ramalan berkenaan isu bekalan komponen memori dan storan telahpun diulas oleh pelbagai pihak, dari jenama-jenama peranti terkemuka sehinggalah pihak pengeluar sendiri yang menjangkakan bahawa bekalan dan harga memori akan kekal tinggi untuk beberapa tahun lagi.
Tetapi kali ini, syarikat pengeluar komponen memori terbesar di dunia sekarang, iaitu SK Hynix telah memberi pandangan mereka berkenaan isu ini sewaktu pembentangan kewangan mereka baru-baru ini. Mereka mengatakan bahawa isu ini akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 2030, sementara syarikat tersebut terus membangunkan kilang pengeluaran komponen memori baru di Korea Selatan dan lokasi-lokasi lain.

Menurut SK Hynix, produktiviti yang didorong oleh penggunaan AI telah meresap masuk ke dalam pelbagai industri, seperti pembangunan perisian, khidmat pelanggan, dan carian telah menambah keperluan syarikat-syarikat untuk membina lebin banyak pusat data yang memanfaatkan penggunaan teknologi AI untuk mempercepatkan pembangunan sistem-sistem baru, dan ini secara langsung akan memastikan bahawa SK Hynix akan terus mengeluarkan komponen memori yang banyak selepas permintaan untuknya stabil.
Walaupun mereka dalam proses untuk membina lebih banyak kilang, syarikat tersebut juga mengatakan bahawa kadar pengeluaran sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan memori pasaran sekarang. Oleh kerana ini, mereka menjangkakan bahawa permintaan akan sentiasa memintas pengeluaran sehingga sekurang-kurangnya 2030.
Majoriti daripada kapasiti pengeluaran komponen memori ini untuk tahun-tahun 2027 dan 2028 sudahpun dibeli oleh syarikat-syarikat pengeluar komponen AI, yang mana SK Hynix mengatakan bahawa mereka menandatangani 14 perjanjian jangka masa panjang dengan 14 syarikat sedia ada, dan syarikat-syarikat ini telah menyatakan hasrat untuk melanjutkan kontrak tersebut selepas tamat tempoh sedia ada.
Selain daripada membangunkan kilang pengeluaran baru, SK Hynix juga mengatakan bahawa mereka kelak akan mengalihkan fokus mereka kepada pengeluaran memori HBM4, yang mana mereka kata akan melangkaui pengeluaran memori HBM3E pada penghujung suku keempat tahun kewangan ini. Mereka juga akan memfokuskan terhadap pengeluaran memori DDR5 dan LPDDR5 SOCAMM untuk kegunaan pusat data kelak.
Sumber: The Register