Kastam Malaysia Patahkan Percubaan Seludup Cip AI Bernilai RM 49.5 Juta Menerusi KLIA
Effi Saharudin
Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas cip kecerdasan buatan (AI) canggih bernilai kira-kira RM49.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan ini menurut laporan Reuters. Rampasan ini melumpuhkan percubaan sindiket penyeludupan semikonduktor berprestasi tinggi yang disyaki menggunakan Malaysia sebagai hab transit.
Kastam menemukan 30 unit pelayan yang mengandungi cip AI terkini di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 15 Oktober lalu. Siasatan awal mendapati penghantaran tersebut berasal dari sebuah negara Asia dan dijadualkan untuk dieksport semula ke negara lain di yang juga di Asia, yang memerlukan permit perdagangan.

Pelayan tersebut diisytiharkan sebagai komponen elektronik bagi mengelakkan sekatan eksport ke destinasi seterusnya. Sebuah syarikat Malaysia yang membantu penghantaran itu telah dipanggil untuk membantu siasatan. Pihak berkuasa percaya kes ini mungkin berkaitan dengan rangkaian yang sama terlibat dalam cubaan penyeludupan yang digagalkan pada Jun lalu.
Sekurang-kurangnya lima kes telah dikaitkan dengan sindiket tersebut, dengan jumlah rampasan cip melebihi RM100 juta. Walaupun tidak dinamakan, penyeludupan ini berkemungkinan besar ialah sebuah lagi usaha licik untuk mengeksport cip AI terkini ke China.
Amerika Syarikat mengenakan sekatan eksport ke atas China bagi mengekang penggunaan cip tersebut bagi tujuan ketenteraan serta dilihat mendatangkan risiko sekiranya negara tersebut berjaya membangunkan AI bagi tujuan serangan siber.
Tahun lalu, Malaysia terpalit dengan skandal penyeludupan cip NVIDIA dari Singapura ke China menggunakan Johor sebagai pusat transit bagi mengaburi pihak berkuasa. Tiga suspek telah didakwa mahkamah Singapura atas percubaan menyeludup cip dipercayai untuk kegunaan DeepSeek tahun lalu. MITI kini memerlukan permit khas untuk mengeksport dan transit cip AI Amerika Syarikat bagi mengelakkan insiden berulang.