Trump Ingin Haramkan Pula Penggunaan Terma AI
Effi Saharudin
Pada bulan September, Presiden Donald Trump mengatakan beliau akan mula menggunakan terma Super Intelligence atau singkatannya SI dan bukan lagi AI untuk kecerdasan buatan. Kemudian pada penghujung September, beliau mengeluarkan arahan eksekutif mewajibkan penggunaan terma SI dalam kesemua dokumen rasmi kerajaan. Semalam beliau berkata akan mengharamkan pula penggunaan terma “kecerdasan buatan” dan “AI” di Amerika Syarikat.

Dalam hantaran menerusi Truth Social, Trump mengamuk kerana Wall Street Journal masih lagi menggunakan terma AI dalam penerbitan mereka. Trump mendakwa terma “AI” ialah palsu dan tidak tepat serta sekali lagi cuba mempopularkan terma “SI” dan “Kecerdasan Super”.Oleh itu beliau berkata akan segera mengharamkan dua terma ini di Amerika Syarikat.
Terma SI kini wajib digunakan dalam semua urusan surat-menyurat rasmi, komunikasi awam, laman web, laporan, dokumen dasar, dan dokumen bukan berkanun lain dalam cabang eksekutif. Isu di sini ialah terma AI telah digunakan lebih 70 tahun oleh saintis, penyelidik dan bidang akademik. Ia tidak boleh diubah sesuka hati oleh seorang presiden yang bukannya pakar.
Istilah AI dicipta pada tahun 1955 oleh John McCarthy seorang ahli fakulti dalam bidang AI di Stanford University yang menyifatkannya sebagai “sains dan kejuruteraan untuk menghasilkan mesin yang cerdas.”