CMF Speaker M dan S Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM259
CMF kini membuka pratempahan untuk Speaker S dan Speaker M di Malaysia sekali gus menandakan kemasukan pertama jenama itu ke dalam segmen pembesar suara mudah alih. Kedua-dua model hadir dengan reka bentuk unik yang diinspirasikan daripada kotak susu. CMF turut menawarkan panel hadapan dan tombol yang boleh ditukar ganti bagi membolehkan pengguna menyesuaikan penampilan pembesar suara mengikut citarasa masing-masing.

Speaker S menggunakan pemacu audio penuh sebesar 45mm bersama dwi-radiator pasif yang membolehkannya menghasilkan output sehingga 10W. Speaker M pula hadir dengan sistem audio dwi-pemacu 35W yang terdiri daripada woofer 25W dan tweeter 10W. Kedua-dua model turut menyokong Bluetooth 6.0, NFC, Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair serta audio melalui USB-C. Turut disertakan ialah penarafan IP68 untuk perlindungan daripada habuk dan air.

Bagi ciri tambahan, pengguna boleh menggabungkan dua unit pembesar suara yang sama untuk sokongan audio stereo. CMF turut menyertakan Party Mode berasaskan Auracast yang membolehkan beberapa pembesar suara serasi dimainkan serentak. Dari segi bateri, kedua-dua model dikatakan mampu bertahan sehingga 18 jam untuk satu cas. Speaker S dijual pada harga RM259 manakala Speaker M berharga RM459 dengan jualan akan bermula pada 3 November 2026.
Sumber: Nothing | MY