Syarikat Teknologi Pengiklanan Israel Didakwa Menjejak Pengguna Starlink Melalui Iklan Web
Nazrin
Penjejakan pengguna menggunakan iklan web bukanlah sesuatu yang baru, tetapi menggunakannya untuk menjejak pengguna pada skala yang besar memerlukan tenaga kerja dan pelaburan wang yang cukup tinggi. Tetapi itulah apa yang ditemui oleh TrendAI, anak syarikat penyelidikan kepada syarikat keselamatan digital TrendMicro baru-baru ini.
Laporan tersebut mengatakan bahawa sebuah syarikat teknologi pengiklanan dari Israel, iaitu Discover-Tech telah ditemui menggunakan iklan web untuk menjejak pengguna perkhidmatan internet Starlink di lebih 100 buah negara di seluruh dunia, melalui proses pembidaan iklan Real-Time Bidding (RTB) yang akan memaparkan iklan web di peranti-peranti pengguna.

TrendAI juga telah menemui bahawa Discover-Tech merupakan samaran kepada pasukan intipan digital SHADOW-EARTH-79, yang kami laporkan sebelum ini adalah pemenang bidaan pengiklanan RTB di 49 buah negara yang mempunyai amaran perjalanan, sedang dalam proses mengadakan pilihan raya umum dan juga sekatan ekonomi oleh negara-negara besar seperti Amerika Syarikat. Contoh negara-negara sebegini adalah seperti Mesir, Israel, Hungary, Azerbaijan dan Venezuela.
Mereka juga dilihat telah membida untuk banyak kedudukan pengiklanan untuk pelanggan-pelanggan Starlink di Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Thailand.
Bidaan iklan dilakukan menerusi rangkaian internet Starlink kerana ia adalah perkhidmatan rangkaian pilihan untuk negara-negara dan juga lokasi dimana sambungan internet melalui jalur lebar, gentian optik dan juga pencawang 4G/5G sukar untuk digunakan. Contoh terbaik sebelum ini ialah Starlink merupakan perkhidmatan rangkaian internet pilihan kerajaan Ukraine dalam peperangan menentang Rusia sebelum penggunaannya dihadkan.

Untuk lokasi-lokasi sebegini, jangkaannya ialah pihak berkuasa tempatan dan kerajaan akan menggunakan perkhidmatan internet sebegini, dan oleh kerana itu, intipan keatas pihak berkuasa merupakan langkah terbaik untuk menjejak mereka.
Laporan TrendAI juga memperlihatkan infrastruktur yang digunakan oleh SHADOW-EARTH-79, termasuklah platform penjejakan data telemetri seperti pengumpulan alamat IP, profil pergerakan pengguna, suntikan skrip dalam peranti dan kebolehan untuk mengenalpasti pengguna melalui corak penggunaan peranti dan juga rangkaian internet.
Apa yang menakutkan berkenaan cara intipan ini ialah ia tidak memerlukan penggunaan perisian hasad. Dengan wang dan pengetahuan yang mencukupi, penjejakan melalui iklan web adalah mencukupi untuk mengetahui sasaran secara umum, dan dari situ, maklumat yang diterima boleh digunakan untuk pelbagai kegiatan intipan yang lain.
Sumber: TrendAI