Redmi Clip Neo Dilancarkan Dengan Rekaan Subang Dan Bateri 32 Jam
Amy Maizuraa
Redmi Clip Neo turut diperkenalkan bersama siri K100. Ia juga menandakan kemasukan pertama Redmi ke dalam segmen fon telinga nirwayar terbuka jenis subang.

Redmi Clip Neo menggunakan sepasang pemacu 12mm dengan gabungan dwi-magnet N52. Menurut Redmi, sistem ini direka untuk menghasilkan audio lebih seimbang dengan kejelasan yang baik pada frekuensi rendah di samping mengurangkan kebocoran bunyi. Salutan Diamond-like Carbon (DLC) turut digunakan bagi mengurangkan herotan audio. Ia juga menawarkan ciri peningkatan bass, empat mod bunyi berbeza serta beberapa tetapan audio yang boleh diubah mengikut keperluan pengguna.

Redmi turut melengkapkan Clip Neo dengan dua mikrofon terbina bersama teknologi pengurangan hingar berasaskan AI untuk menjadikan panggilan suara lebih jelas. Pengguna juga boleh menetapkan fungsi kawalan sentuhan bagi memainkan muzik, menjawab panggilan atau mengakses pembantu maya. Turut disediakan ialah fungsi pengesanan lokasi yang membolehkan fon telinga dicari semula melalui peta atau amaran bunyi dan ketahanan bateri sehingga 32 jam apabila digunakan bersama bekas pengecas.
Sumber: REDMI Clip Neo