CEO Intel – Kerjasama Antara Intel Dan AMD Tidak Mustahil
Jika anda mengikuti berita dan perkembangan dalam dunia perkomputeran, anda akan tahu bahawa AMD dan Intel adalah pesaing dalam dunia perkomputeran pengguna dan juga mesin pelayan. Walaupun begitu, AMD telah menggunakan teknologi cip Intel x86 sejak 1981 dalam pelesenan dan perjanjian yang membolehkan mereka menggunakan teknologi tersebut.
Akan tetapi, kedua-dua syarikat ini masih mengekalkan persaingan dalam aspek-aspek lain pembangunan teknologi tersebut dengan AMD memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen dan kad grafik AMD Radeon, manakala Intel pula kini mempunyai siri cip pemprosesan Intel Core Ultra dan siri cip dan kad grafik Intel Arc.
Baru-baru ini, CEO Intel, Lip-Bu Tan telah mengatakan bahawa kedua-dua syarikat sedang meneroka kemungkinan untuk satu lagi kolaborasi baru, mungkin bukan dari segi penawaran produk, tetapi mungkin untuk AMD menggunakan khidmat proses pengeluaran cip Intel yang terbaru, proses 14A mungkin untuk membantu dalam pengeluaran cip akan datang mereka.

Tetapi perkara ini juga bukanlah sesuatu yang baru. AMD dan Intel sudahpun berbincang untuk menggunakan kilang pengeluaran Intel kira-kira dua tahun lepas, apabila Lip-Bu Tan mengambil-alih tampuk kepimpinan Intel dari Pat Gelsinger.
Ia juga bukanlah suatu rahsia bahawa Intel kini sedang mencari pelanggan-pelanggan baru untuk proses pengeluaran cip semikonduktor 14A mereka, tetapi mendekati AMD sebagai pelanggan dilihat sebagai percaturan agak menarik, khususnya jika AMD menerima tawaran tersebut.
Tidak dinafikan bahawa proses pengilangan TSMC masih lagi menjadi pilihan utama banyak syarikat-syarikat yang merekacipta cip pemprosesan mereka sendiri, tetapi dengan permintaan yang sangat tinggi dan harga yang mahal, proses pengeluaran cip Intel 14A mungkin sesuatu yang akan dipertimbangkan oleh syarikat-syarikat pereka cip pemprosesan untuk memastikan bahawa komponen-komponen mereka masih boleh dihasilkan pada masa dan kadar yang dikehendaki.