Kerajaan Mengetatkan Kelulusan Pembukaan Pusat Data Berdasarkan Tahap Bekalan Air Negeri
Nazrin
Malaysia kini mempunyai kira-kira 117 projek pusat data yang berada dalam beberapa fasa yang berbeza yang sudah mula beroperasi, yang sudahpun melepasi proses kelulusan, sedang dalam proses pembangunan dan pembinaan, dan lain-lain.
Terkini, Menteri Pelaburan, Pembangunan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah mengatakan bahawa kini, negeri-negeri yang didapati tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi tidak akan dibenarkan untuk meluluskan dan membangunkan pusat data baru di negeri mereka.
Ini bukanlah untuk mengatakan bahawa kerajaan pusat akan menghentikan proses kelulusan pusat data baru, tetapi untuk memastikan bahawa keperluan rakyat diutamakan terlebih dahulu sebelum membangunkan infrastruktur yang memerlukan bekalan elektrik dan air yang banyak seperti pusat data.

Daripada 117 projek pusat data yang diluluskan, 55 daripada pusat data tersebut sudahpun mula beroperasi, 19 sedang dibangunkan dan 16 sudahpun menerima kelulusan, tetapi belum lagi dibangunkan. Dalam pada itu, 27 projek pusat data kini didalam pelbagai proses pembangunan, tetapi keperluan tenaga elektrik untuk kilang-kilang ini akan disalurkan melalui bekalan kuasa luar dari grid bekalan elektrik sedia ada.
Pusat-pusat data yang menerima bekalan kuasa oleh Tenaga Nasional Berhad juga dilaporkan akan perlu membayar harga penuh untuk kapasiti yang dibekalkan, walaupun jumlah penggunaan adalah lebih rendah. Beliau turut mengatakan sebelum ini bahawa 57 pusat data sedia ada menggunakan sebanyak 6237MW tenaga elektrik yang dibekalkan oleh TNB, manakala untuk 60 lagi pusat data yang akan beroperasi kelak, sebanyak 11,172MW kapasiti tenaga elektrik akan diperlukan.
Dalam pada itu, untuk kesemua 117 projek pusat data yang sudah disahkan, proses pembangunan, pemasangan kelengkapan, pengambilan pekerjaan, perundingan dan sebagainya akan perlu memenuhi keperluan penggunaan perkhidmatan tempatan 30 peratus untuk memastikan bahawa pembangunan infrastruktur tersebut akan memanfaatkan syarikat-syarikat dan juga pekerja tempatan.
Sumber: The Edge Malaysia