WhatsApp Kini Membolehkan Mesej Dipin Tanpa Had Tempoh Dalam Kumpulan
Amy Maizuraa
Lambakan mesej dalam sembang kumpulan bukanlah perkara baharu dalam WhatsApp terutamanya bagi kumpulan yang aktif sepanjang hari. Bagi menangani perkara itu, WhatsApp memperkenalkan empat ciri baharu yang memudahkan pengguna menjejaki perbualan dan mendapatkan maklumat penting dengan lebih pantas.

Salah satu penambahan yang diperkenalkan ialah sokongan untuk menyemat (pin) mesej tanpa had tempoh. Sebelum ini, mesej yang disemat hanya boleh dipaparkan selama 24 jam, tujuh hari atau 30 hari sebelum hilang secara automatik. Kini, mesej tersebut boleh kekal berada di bahagian atas sembang sehingga dialih keluar oleh pengguna. Ciri ini dilihat berguna bagi memastikan maklumat penting seperti pautan mesyuarat, jadual aktiviti atau pengumuman sentiasa mudah dirujuk oleh semua ahli kumpulan.

WhatsApp turut menambah baik ciri perkongsian sejarah perbualan dalam kumpulan. Jika sebelum ini mesej terdahulu boleh dikongsi ketika ahli baharu ditambahkan ke dalam Kumpulan, kini sejarah perbualan juga boleh dihantar selepas mereka menyertainya. Ini membolehkan ahli baharu mengikuti perbincangan yang telah berlangsung tanpa perlu meminta penjelasan semula daripada ahli lain.

Selain itu, WhatsApp kini memperkenalkan Status Kumpulan yang membolehkan pengguna berkongsi kemas kini dengan kumpulan tertentu sahaja, tanpa perlu berkongsinya kepada semua kenalan. Ahli kumpulan boleh melihat status tersebut, memberikan reaksi dan berkongsi status mereka sendiri. Seperti Status WhatsApp biasa, kandungan yang dimuat naik akan hilang secara automatik selepas 24 jam.
Dalam masa yang sama, WhatsApp turut menyediakan tab khas untuk sebutan (mentions) dan balasan (replies). Menerusi ciri ini, pengguna boleh melihat dengan lebih mudah mesej yang menyebut nama mereka atau membalas mesej yang dihantar, termasuk pengumuman penting daripada pentadbir kumpulan. Ini memudahkan pengguna mengikuti perbualan dalam kumpulan yang aktif tanpa terlepas mesej yang berkaitan dengan mereka.
Sumber: WhatsApp Blog