Revolusi Prestasi AI & Kreativiti Tanpa Sempadan Dengan ASUS ProArt P14
Nazrin
Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) serta keperluan rekaan digital berprestasi tinggi telah mengubah lanskap peranti komputer mudah alih. Bagi memenuhi tuntutan kerja generasi baharu, ASUS secara rasminya melancarkan ASUS ProArt P14 (2026) di pasaran Malaysia pada harga RM29,999. Peranti ini dirangka khas sebagai stesen kerja gred profesional (professional workstation) yang menggabungkan keupayaan pemprosesan AI tempatan (on-device AI), kecekapan tenaga, serta reka bentuk yang amat fleksibel.

Kuasa Pemprosesan Berkembar: NVIDIA RTX Spark Superchip
ASUS ProArt P14 merupakan peranti pertama yang tiba di Malaysia yang dipacu oleh platform NVIDIA RTX Spark Superchip. Hasil kerjasama strategik antara MediaTek dan NVIDIA, cip ini mengadunkan pemproses NVIDIA Grace CPU 20-Teras (10x Cortex-X925 + 10x Cortex-A725) bersama GPU Blackwell RTX dengan 6,144 Teras CUDA. Pemprosesan grafik ini setara dengan tahap GPU desktop RTX 5070, sekali gus menyampaikan prestasi AI FP4 sehingga 1 Petaflop (1,000 TOPS).

Keupayaan ini diperkasa lagi dengan penyertaan memori tersusun 128GB LPDDR5X-9400 (Unified Memory) menerusi pautan saintifik NVLink C2C berkapasiti 600 GB/s. Senibina memori berkapasiti tinggi ini membolehkan pengguna:
- Menjalankan Model Bahasa Besar (LLM) tempatan sehingga 120 bilion parameter secara serentak tanpa kebergantungan kepada pelayan awan (cloud server) atau kos token bulanan.
- Memproses dan memaparkan babak visual 3D kompleks bersaiz sehingga 90GB.
- Melakukan penyuntingan dan pemprosesan video format raw 12K 4:2:2 secara lancar.

Kejelasan Visual Gred Industri: ASUS Lumina Pro OLED
Aspek paparan menjadi teras utama bagi pencipta kandungan dan jurutera visual. ProArt P14 didatangkan dengan skrin sesentuh 14.0 inci 3K (2880 x 1880) ASUS Lumina Pro OLED.

Paparan skrin ini menawarkan kejituan warna melalui olahan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan nisba kejituan warna Delta E<1 dengan pengiktirafan PANTONE® Validated. Paparan ASUS Lumina Pro OLED ini juga hadir dengan nilai kecerahan 1000 nits beserta pensijilan VESA DisplayHDR™ True Black 1000 dan sokongan Dolby Vision yang membolehkannya memaparkan kandungan HDR dengan cantik.
Paparan ini juga hadir dengan kadar segar semula 120Hz dengan sokongan Variable Refresh Rate untuk kemaskini kandungan paparan yang bebas dari isu-isu seperti screen-tearing dan ghosting khususnya jika anda mahu menggunakan komputer riba ini untuk tujuan gaming sekali-sekala.

Salutan anti-pantulan (anti-reflective coating) juga membantu mengurangkan silau sehingga 65 peratus, manakala perlindungan Corning® Gorilla® Glass NBT™ menjanjikan paparan skrin anda sentiasa kuat dan tahan calar dan hentakan.
Ekosistem AI Autonomi & Keselamatan Data Tempatan
Satu kelebihan utama ASUS ProArt P14 ialah pengintegrasian ekosistem AI secara tempatan untuk menjamin kerahsiaan data (data privacy). Melalui kerjasama bersama Nous Research, peranti ini disokong oleh Hermes Agent, iaitu sistem AI autonomi sumber terbuka yang beroperasi terus di dalam peranti dengan ingatan berterusan (persistent memory).

Hermes Agent bekerjasama rapat dengan aplikasi eksklusif ASUS MuseTree bagi melancarkan proses rekaan:
- Idea Map: Menjana konsep visual berkualiti tinggi berasaskan model FLUX.
- Idea Canvas: Membolehkan lakaran manual ditukarkan kepada imej AI yang terperinci.
- Idea Clips: Menukarkan imej pegun kepada klip video sinematik 4K berasaskan model Wan 2.2.
Pengurusan tetapan perkakasan dan profil kuasa peranti turut dipermudahkan melalui pembantu sistem ASUS Zenni Claw.
Selain dari sistem AI yang sudahpun tersedia melalui komputer riba ini, anda juga boleh menggunakan model bahasaraya terbuka lain seperti DeepSeek, Gemma, Phi, Qwen dan sebagainya sebagai asas untuk menggunakan kemampuan pemprosesan AI komputer riba ini sebagai pasukan pembangun perisian semua-dalam-satu anda.

Tidak kira apa proses pembangunan anda, ASUS ProArt P14 yang dikuasakan dengan cip NVIDIA RTX Spark N1X akan membantu anda membangunkan idea-idea anda menjadi realiti tanpa perlu risau tentang masalah penggunaan perkhidmatan AI awam, seperti kekurangan token dan sebagainya.



Sebagai contoh, saya menggunakan LM Studio dan Visual Studio Code untuk menggunakan model bahasaraya terbuka Gemma 4 yang dibangunkan oleh Google Deepmind untuk membina sebuah laman web yang hadir dengan aplikasi kalkulator terbina untuk menguji kemampuan komputer riba ini untuk membina laman web dan perisian ringkas, dan untuk projek ini, ia boleh disiapkan dalam masa kurang dari 5 minit.
Selain daripada prestasi pemprosesan AI yang baik, kelebihan menggunakan komputer riba seperti ASUS ProArt P14 ini ialah anda boleh membina apa-apa sahaja jenis sistem tanpa perlu risau anda menggunakan token AI secara terlalu banyak, dan melalui isu dimana anda perlu membayar langganan tambahan untuk meneruskan projek anda.
Sistem Penyejukan Efisien & Rekabentuk Tahan Lasak
Bagi memastikan peranti kekal beroperasi pada tahap optimum tanpa kekangan terma (thermal throttling), ASUS melengkapi ProArt P14 dengan sistem ASUS Advanced Cooling. Sistem ini berupaya menyokong kuasa haba sehingga 80W TDP dalam mod Manual. Untuk tugas harian yang berbeban rendah, mod 0dB Ambient Cooling memastikan kipas beroperasi secara senyap sepenuhnya.

Dari segi reka bentuk fizikal dan ketahanan, ASUS ProArt P14 hadir dengan rekaan yang nipis dan ringan, dengan ketebalan hanya 13.59mm dan berat 1.48kg sahaja. Dengan piawaian ketahanan gred tentera US MIL-STD-810H yang melepasi ujian kejutan, getaran, suhu ekstrem, dan kelembapan, komputer riba ini juga dilihat cukup tahan lasak. Anda juga diberi pilihan warna Nano Black serta Neo White untuk rona yang bersesuaian dengan citarasa anda.
ASUS ProArt P14 menetapkan penanda aras baharu bagi stesen kerja mudah alih gred profesional. Dengan keupayaan pemprosesan AI tempatan yang tinggi, paparan OLED terunggul, serta reka bentuk yang padat dan kukuh, peranti ini merupakan pelaburan strategik bagi organisasi dan individu yang mengutamakan prestasi, kecekapan, dan keselamatan data dalam era digital masa kini.

Pra-tempahan untuk ASUS ProArt P14 kini sudah dibuka melalui laman web ASUS eStore Malaysia pada harga RM29,999 yang mana ia juga ditawarkan bersama paparan skrin ASUS ProArt Display OLED PA279CDV secara percuma, selagi stok masih ada.
ASUS Malaysia juga menawarkan model-model ASUS ProArt P14 dan P16 dengan penawaran memori LPDDR5X sebanyak 48GB pada harga RM18,999 untuk anda yang mahukan sebuah komputer riba yang berkuasa untuk tujuan pembangunan teknologi dan produktiviti lain, tetapi tidak memerlukan memori 128GB untuk menampung beban kerja AI agentik. Model komputer riba ini juga akan hadir dengan paparan skrin ASUS ProArt Display OLED PA279CDV percuma juga sehingga 30 November 2026 atau selagi stok masih ada.
Penafian: Ini adalah sebuah advertorial oleh ASUS Malaysia