Sistem Pengecaman Nombor Plat Dijangka Bantu Memburu Pengguna Elak Bayar Tol
Amy Maizuraa
Bagi kebanyakan pengguna lebuh raya, sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF) sering dikaitkan dengan usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol. Namun, apabila sistem ini dilaksanakan sepenuhnya kelak, ruang untuk mengelak bayaran tol dijangka menjadi semakin sukar.
Ini kerana MLFF menggunakan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) yang membolehkan nombor pendaftaran kenderaan direkodkan secara automatik setiap kali melalui lebuh raya. Kenderaan yang gagal atau sengaja tidak membuat bayaran tol juga dijangka lebih mudah dikenal pasti.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, teknologi berkenaan akan menjadi antara komponen utama dalam pelaksanaan MLFF. Selain membantu melancarkan aliran trafik, sistem itu turut dijangka mengecilkan ruang untuk pengguna mengelak daripada membayar tol.
Dengan penggunaan ANPR, pihak berkuasa berupaya mengesan kenderaan yang menggunakan lebuh raya tanpa membuat pembayaran dengan lebih mudah. Perkara ini sekali gus memudahkan tindakan diambil terhadap pesalah, termasuk membuat tuntutan terhadap mereka yang sebelum ini berjaya terlepas daripada dikesan.

Isu pengelakan bayaran tol bukan perkara baharu dalam kalangan pengendali lebuh raya. Sebelum ini, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dilaporkan mengalami kerugian akibat tindakan segelintir pengguna yang tidak membuat pembayaran tol.
Di bawah Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984, individu yang didapati bersalah mengelak bayaran tol boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga setahun.
Sumber: BERNAMA