Ulasan DJI Mic Mini 2 – Cantik Tapi Bukan Terbaik
Kalau dulu sistem mikrofon tanpa wayar ini memang agak besar, tebal dan memerlukan proses yang panjang untuk menggunakannya. Namun sekarang teknologi pada mikrofon tanpa wayar ini sudah berkembang dan sangat memudahkan seperti yang ada pada DJI Mic Mini 2 ini. Teruskan membaca ulasan ini untuk penjelasan yang lebih lanjut.
| DJI Mic Mini 2 | |
| Jenis | Mikrofon mudah alih |
| Set | 2 Pemancar DMMT02 1 Penerima DMMR01 1 Kotak pengecas DMMC02 |
| Storan Terbina | Tiada |
| Jarak operasi | 400 meter |
| Bateri | 114 mAh – Pemancar (11.5 jam) 170 mAh – Penerima (10.5 jam) 1950 mAh – Kotak pengecas (40 jam) |
| Berat | 11g – Pemancar 17g – Penerima 71g – Kotak pengecas |
| Harga | Bermula RM239 |
Rekaan Dan Penggunaan
Untuk mengelakkan kekeliruan, DJI Mic Mini 2 ini merupakan model yang dinaik taraf dari DJI Mic Mini dan prestasinya masih dibawah DJI Mic Mini 2S. Rekaan yang ada pada Mic Mini 2 ini sangat bergaya dan ceria kerana anda boleh menukar penutup magnetik bahagian depan ini kepada beberapa warna yang lain. Rekaan keseluruhan pula menggunakan plastik dengan kemasan kusam yang kelihatan sangat kemas.

Pemancar Mic Mini 2 ini juga sangat ringan dan kecil. Beratnya hanya 11g jadi bila menggunakannya di pakaian ia akan kelihatan kemas dan tidak menggelebeh ke bawah. Pada pemancar juga terdapat dua butang iaitu butang kuasa dan butang untuk sambungan. Bahagian bawah pula hanya terdapat pin untuk tujuan pengecasan dalam bekas simpanannya.
Untuk penerima pula kelihatan sangat mudah dan ringkas, pada bahagian hadapan terdapat roda untuk melaras kekuatan audio pemancar. Pada sebelah kiri terdapat port 3.5 untuk sambungan ke kamera serta butang sambungan. Bahagian kanan pula hanya terdapat butang kuasa untuk menghidupkan penerima ini. Ini sebenarnya rekaan yang sama sahaja dengan DJI Mic Mini yang pertama sebelum dan tiada apa-apa perubahan yang ketara.

Untuk saya ketiadaan ciri rakaman sendiri mungkin boleh jadi kelemahan dan tidak kerana ia mengikut bagaimana cara kerja seseorang ataupun sesebuah produksi itu sendiri. Jika anda sering melakukan rakaman audio berasingan ini bukanlah untuk anda. Namun jika anda hanya seorang pencipta kandungan kecil yang baru bermula, ciri itu bukanlah kepentingan utama.
Bekas simpanan yang memuatkan dua pemancar dan satu penerima ini juga merupakan rekaan yang sama sahaja seperti yang ada pada Mic Mini yang pertama dahulu. Terdapat empat lampu LED dia bahagian hadapan untuk tunjukkan status bateri pod pengecas. DJI katakan yang ketahanan bateri Mic Mini 2 ini boleh mencapai sehingga 48 jam sebelum perlu dicas semula.

Mic Mini 2 ini boleh disambungkan melalui dua cara. Yang pertama melalui penerima yang boleh disambungkan ke kamera atau peranti pintar menerusi USB-C. Cara yang kedua pula melalui Bluetooth terus kepada peranti pintar. Semasa penggunaan saya kedua-dua cara ini cukup mudah untuk digunakan tanpa memeningkan kepala.
Tempoh penggunaan untuk Mic Mini 2 ini pula boleh mencapai sehingga 11.5 jam mengikut apa yang dikatakan DJI. Dari pengalaman saya selepas menggunakannya lebih 2 minggu, saya hanya perlu mengecas sekali sahaja pod pengecasnya. Corak penggunaan saya adalah tanpa ANC dan hanya menggunakannya pada peranti pintar menggunakan penerima.
Kualiti Audio
Kualiti audio yang terhasil daripada DJI Mic Mini 2 ini berada di tahap yang agak baik walaupun ia tidak mempunyai ciri-ciri profesional seperti rakaman 32-bit. Selain dari itu, tiada perkara yang negatif untuk saya jelaskan mengenai mikrofon ini. Kesemua video yang saya rakam menggunakan mikrofon ini sebagai sumber audio kedengaran jelas dan kuat tapi pada awal penggunaan saya dapati audio gain dari mikrofon ini kurang kuat dan saya perlu tambah sendiri melalui penerima.

DJI Mic Mini 2 ini juga mempunyai ciri pembatalan hingar dengan dua tahap yang berbeza. Tahap yang pertama atau ‘basic’, saya boleh kata ini adalah pembatalan hingar yang paling sesuai digunakan dalam suasana yang tidak terlalu bising seperti di pejabat atau untuk hilangkan bunyi penyaman udara dan sebagainya.
Suara masih kedengaran semula jadi dan jelas dengan bunyi latar dikurangkan. Pada tahap kedua atau ‘strong’ pula saya agak kurang gemar untuk gunakan, hanya di kawasan yang betul-betul bising sahaja yang agak sesuai untuk gunakan ciri ini. Bunyi latar memang boleh dikurangkan dengan ketara namun suara sendiri kedengaran kurang semula jadi.

Selain dari itu, DJI Mic Mini 2 ini juga mempunyai ciri penapis low cut yang boleh membantu kurang bunyi-bunyi sekeliling seperti penyaman udara. Ini juga ciri yang sangat sesuai digabungkan dengan pembatalan hingar tahap pertama yang ada pada mikrofon ini. Ciri ‘clipping control’ pula boleh menyesuaikan tahap audio untuk mengelakkan dari bunyi yang terlalu kuat sehingga kedengaran pecah.
Kesimpulan
Untuk harga bermula RM239, saya rasakan yang DJI Mic Mini 2 ini sangat berbaloi untuk semua kategori pencipta kandungan. Sebuah mikrofon yang lengkap dengan ciri-ciri berguna yang dapat menghasilkan kualiti audio yang sangat baik. Jika anda mengejar kualiti profesional ini bukanlah pilihannya, DJI Mic Mini 2s lebih sesuai dengan kehendak anda.

Pro
- Rekaan yang ceria dan mudah.
- Kualiti audio yang cukup baik.
- Hayat bateri yang baik.
- Harga yang mampu milik.
Kontra
- Tiada ciri rakaman 32-bit.
- Tiada ciri rakaman audio terbina dalam mikrofon
