Perancis Ingin Mengenakan Cukai Ke Atas Trafik Data Yang Digunakan Platform
Effi Saharudin
Parlimen Perancis meluluskan pindaan belanjawan yang akan mengenakan cukai €0.055 (~RM0.25) bagi setiap gigabait (GB) kandungan yang dihantar kepada pengguna internet di Perancis. Cadangan itu diluluskan pada 30 Oktober tetapi ia belum menjadi undang-undang kerana masih perlu melalui proses kelulusan lanjut termasuk Senat Perancis.

Sekiranya diluluskan, syarikat yang menggunakan banyak data trafik seperti Google, Netflix, Meta, Amazon dan TikTok harus membayar cukai kepada kerajaan Perancis. Perancis boleh memperoleh hasil kutipan cukai sekitar €10 bilion setahun. Cukai yang dikenakan mempunyai had maksimum 15% pendapatan syarikat di Perancis atau 2% pendapatan di peringkat global.
Penyedia perkhidmatan internet (ISP) akan mengukur jumlah trafik data, mengenal pasti syarikat yang menghantar data tersebut, dan menghantar laporan setiap suku tahun kepada pihak berkuasa cukai Perancis.
Perancis bukan negara pertama ingin memperkenalkan cukai trafik data kepada pemilik platform. Korea selatan meminta bayaran daripada syarikat perkhidmatan untuk menanggung kos penyeliaan infrastruktur internet sekiranya menggunakan trafik yang tinggi. Ini menyebabkan Twitch menamatkan perkhidmatan di negara tersebut pada tahun 2021 kerana tidak mampu menanggung kos operasi.